Berita

Pakatan Harapan serah lebih 10 ribu tandatangan penduduk KL bantah caj baru parkir

KUALA LUMPUR, 2 SEP: Ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan hari ini menghantar tandatangan bantahan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung kenaikan caj baru parkir di ibu kota yang disifatkan terlalu mahal dan membebankan rakyat.

11,000 tanda tangan penduduk Kuala Lumpur dikumpul secara fizikal dan melalui laman atas talian, ipetitions.com

Antara mereka yang hadir pada penyerahan tandatangan tersebut adalah Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok serta Ahli Parlimen Wangsa Maju, Tan Kee Wong.

Menurut mereka, sistem bayaran parkir itu mendatangkan banyak masalah kepada pengguna, malah menyebabkan pengguna terpaksa membayar lebih berbanding dengan tempoh sebelum pelaksanaannya.

Dalam penyerahan itu juga, ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan turut menyuarakan bantahan mereka terhadap tindakan Kementerian WIlayah Persekutuan menswastakan kutipan parkir kepada syarikat perkhidmatan parkir, Vista Summerose Sdn. Bhd.

Mereka menjelaskan, penswastaan kutipan parkir itu akan hanya menguntungkan syarikat kroni Barisan Nasional dan merugikan DBKL sebagai pihak berkuasa tempatan di kawasan Kuala Lumpur.

“Kami ingin menyeru Menteri Wilayah Persekutuan untuk menjawab semua soalan yang dibangkitkan, dan menghentikan peningkatan harga dan penswastaan parkit di Kuala Lumpur,” tegasnya.

“Hasrat Kementerian WIlayah Persekutuan ingin mengurangkan kenderaan daripada masuk ke Kuala Lumpur haruslah diambil selepas kerajaan menambahbaik sistem pengangkutan awam serta mengurangkan plot ratio dalam semua projek bangunan baru.” – Roketkini.com