Berita

Pulau Pinang utamakan status warisan UNESCO, kawal pembelian hartanah oleh warga asing

GEORGE TOWN, 2 SEP: Pembelian hartanah oleh warga asing di Pulau Pinang telah menurun lebih dari 50 peratus sejak 2013 berikutan pelbagai strategi yang diambil oleh Kerajaan Negeri bagi mengawal isu berkenaan.

Exco Perumahan negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, salah satu langkah yang diambil sejak Julai 2012 adalah dengan tidak membenarkan warga asing membeli hartanah yang berharga kurang daripada RM2 juta di kawasan pulau, serta kurang dari RM1 juta di Seberang Perai.

Tambahnya lagi, untuk hartanah berstrata (pangsapuri) pula, warga asing tidak dibenarkan untuk membeli hartanah berharga kurang dari RM1 juta di kedua-dua bahagian Pulau Pinang tersebut.

“Lanjutan daripada langkah ini, sejak April 2014, warga asing tertakluk kepada bayaran kelulusan tiga peratus ke atas harga pembelian hartanah yang dibeli.

“Semua strategi yang diambil telah menyebabkan pembelian hartanah oleh warga asing berkurangan lebih dari 50 peratus,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Dato Keramat berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar The Star bahawa kononnya kawasan George Town menjadi medan pembelian hartanah oleh warga Singapura.

Dalam kenyataannya, beliau turut menyenaraikan jumlah pembelian hartanah oleh warga asing di negeri itu, iaitu penurunan dari 301 unit pada tahun 2012 kepada hanya 142 unit pada Jun tahun ini.

Jagdeep menegaskan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa menjalankan kajian polisi secara berkala termasuk ke atas langkah-langkah yang diambil bagi mengawal pembelian hartanah oleh warga asing agar ia menguntungkan rakyat negeri itu.

Status Warisan UNESCO diutamakan

Berkenaan dengan kebimbangan beberapa pihak berhubung penjagaan George Town sebagai bandar warisan, beliau berkata status kawasan itu sebagai Tapak Warisan UNESCO adalah perkara utama yang diambil kira sebelum melaksanakan apa-apa pembangunan.

“Dalam hal ini, Majlis Perbandaran Pulau Pinang mengenakan syarat yang amat ketat tentang bagaimana bangunan-bangunan warisan di George Town itu harus dipulihara agar ia selari dengan syarat yang dikenakan oleh UNESCO.

“Oleh itu, kebimbangan beberapa pihak berhubung perkara ini adalah tidak berasas,” tegasnya.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang baru-baru ini turut mengumumkan cadangan untuk memperkenalkan semula sistem kawalan sewa bagi mengawal peningkatan sewa yang dikenakan ke atas rumah-rumah warisan pra-peperangan di tapak warisan George Town.

Bagi mencapai matlamat itu, kerajaan negeri akan memulakan dua misi pencarian fakta, iaitu untuk mengenalpasti undang-undang dalam berbuat demikian, serta menentukan jumlah sebenar unit yang terjejas termasuk mendapatkan maklum balas dari pemilik dan penyewa hartanah berkenaan. – Roketkini.com