Rencana

Parlimen dan mahkamah hilang keagungannya

Semasa sebuah persidangan serantau di Kuala Lumpur baru-baru ini, saya telah berbual santun dengan orang yang duduk di sebelah saya.

“Jadi saudara dalam jawatankuasa parlimen yang mana?” soal rakan baru saya, yang baru saya ketahui merupakan ketua sebuah institut penyelidikan kerajaan Vietnam. Dia tertanya-tanya tentang peranan saya sebagai seorang Ahli Parlimen Malaysia.

“Itu satu soalan yang baik,” jawab saya. “Kami sebenarnya tidak ada jawatankuasa pilihan parlimen (parliamentary select committee) yang aktif, selain daripada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.” Menyedari raut kebingungan di wajahnya, saya menambah lanjut.

“Sebenarnya, terdapat beberapa cadangan baru-baru ini untuk memperkenalkan jawatankuasa yang saudara maksudkan itu sebagai sebahagian daripada inisiatif pembaharuan yang diterajui kami di pihak pembangkang. Malangnya, Kabinet tidak bersetuju dengan pembentukan jawatankuasa pilihan.”

Kerut kening kenalan baru saya itu semakin tampak apabila kebingungannya tadi berubah kepada seakan tidak percaya. “Maafkan saya, kamu katakan Kabinet tidak bersetuju dengan cadangan Parlimen untuk menubuhkan jawatankuasa pilihan? Tetapi mengapa Kabinet yang harus menentukan urusan Parlimen?”

Maka timbulnya situasi yang sungguh ironi – apabila saya disoal oleh ahli kerajaan sebuah negara komunis mengenai rasional campur tangan eksekutif dalam hal ehwal badan perundangan tertinggi Persekutuan. Saya hampir hilang punca, kerana saya tahu soalan mudah beliau itu seakan merumuskan semua yang tidak kena dengan institusi-institusi tertinggi negara kita.

Perampasan kuasa oleh eksekutif

Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa tadbir urus negara kita dibahagikan kepada tiga cabang utama iaitu perundangan, eksekutif dan kehakiman. Setiap cabang ini bertujuan untuk menjadi kuasa yang berasingan dan bebas daripada dua cabang yang lain. Aturan ini dibentuk sedemikian rupa untuk memastikan kewujudan mekanisme semak dan imbang bagi mengelakkan monopoli kuasa oleh mana-mana satu cabang.

Keseimbangan inilah yang dinamakan sistem tiga pihak (tripartite system), satu gelaran yang dicipta oleh ahli falsafah Perancis abad ke-18, Baron de Montesquieu. Malangnya, eksekutif Malaysia terbukti tidak berapa mempedulikan pendapat Montesquieu ini.

Berbekalkan kuasa tidak terkawal selama lima dekad sebelum kehilangan majoriti dua pertiga pada tahun 2008, kerajaan persekutuan BN telah secara semberono meminda Perlembagaan dan undang-undang persekutuan lain bagi mengurangkan kuasa badan perundangan dan kehakiman. Pada masa yang sama, lebih banyak kuasa telah ditumpukan di tangan eksekutif.

Berakhirnya kebebasan kehakiman

Dengan berteraskan tradisi undang-undang common law yang diwarisi British, badan kehakiman Malaysia telah menjadi antara kebanggaan bagi Persekutuan. Malangnya, tidak ramai yang masih memandang tinggi institusi tersebut.

Kebanyakan akan merujuk kepada krisis kehakiman 1988 sebagai punca kepada segala yang tidak kena dengan badan kehakiman kini. Pergelutan yang bermula dengan beberapa keputusan mahkamah yang tidak menguntungkan pemerintah – termasuk pembatalan pendaftaran UMNO – akhirnya berkembang menjadi perbalahan besar antara badan kehakiman dan eksekutif.

Maka tercetuslah pertempuran epik ala Shakespeare yang menyaksikan adegan pengkhianatan, manipulasi besar-besaran dan pada penghujungnya, kejayaan antagonis yang bersifat Machiavelli. Akhirnya, tersungkurlah badan kehakiman dengan pemecatan Ketua Hakim Negara bersama dua hakim Mahkamah Agung yang lain. Menurut mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, negara kita masih belum pulih daripada tamparan hebat ini.

Dalam usaha menundukkan mahkamah, kerajaan telah membuat beberapa pindaan kepada Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan, termasuk penyingkiran kuasa mutlak mahkamah dalam bidang kuasa kehakiman Persekutuan. Ini telah mengganti peruntukan asal Perlembagaan yang jelas menyatakan bahawa kuasa kehakiman Persekutuan hendaklah terletak pada Mahkamah Agung serta mana-mana mahkamah bawahan yang diperuntukkan oleh undang-undang persekutuan.

Berikutan pindaan tersebut, mahkamah kini berfungsi dalam “apa-apa bidang kuasa dan kuasa yang diberikan oleh atau di bawah undang-undang persekutuan.” Ini secara langsung meletakkan mahkamah pada taraf yang lebih rendah daripada undang-undang persekutuan. Keadaan ini langsung tidak sepadan dengan kedudukan mahkamah sebagai salah satu daripada tiga cabang utama Persekutuan.

Kemerosotan badan kehakiman telah dilengkapkan pada tahun 1994 dengan pengenalan Kanun Etika Hakim secara terburu-buru, serta penurunan taraf simbolik Ketua Hakim Negara apabila jawatan tersebut ditukar nama daripada Lord President kepada Chief Justice, manakala kedua-dua Ketua Hakim Malaya dan Borneo telah diturunkan kepada Hakim Besar. Sementara itu, nama mahkamah tertinggi negara diubah kembali daripada Mahkamah Agung kepada Mahkamah Persekutuan, yakni nama asalnya ketika masih di bawah Majlis Privi British.

Walaupun ada yang yang mengatakan perubahan ini hanya kosmetik, mesej yang dihantar adalah kuat dan jelas: mahkamah tidak lagi agung.

Adik angkat bernama Parlimen

Meskipun badan kehakiman pada awalnya pernah menikmati reputasi mulia, hal yang sama tidak terjadi kepada adik angkatnya yang dikenali sebagai Parlimen Malaysia. Yang pasti,
Perlembagaan Persekutuan sebagaimana digubal oleh Suruhanjaya Reid telah dirangka agar cabang perundangan dapat memainkan peranan pengimbang yang penting dalam sistem tiga pihak. Malah, beberapa sekatan telah diperuntukkan dalam Perlembagaan bagi memudahcara fungsi tersebut.

Malangnya, badan perundangan yang mampu mengimbangi kuasa eksekutif tidak dianggap menarik oleh pemerintah. Pada tahun 1960, hanya tiga tahun selepas kemerdekaan, kerajaan mengambil kesempatan dengan menggunakan majoriti dua-pertiganya untuk menyekat kuasa pengawasan Parlimen dalam dua perkara.

Dalam Perlembagaan asal, sebarang pengisytiharan darurat oleh Agong perlu disusuli dengan persidangan Parlimen dalam masa terdekat. Malah, pengisytiharan tersebut akan luput secara tersendiri selepas dua bulan melainkan suatu ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Dewan di Parlimen.

Walau bagaimanapun, Perkara 150 Perlembagaan telah dipinda untuk menghapuskan keperluan untuk pengesahan Parlimen, dan menggantikannya pula dengan peruntukan pembatalan oleh kedua-dua Dewan. Dalam erti kata lain, sementara kelulusan Parlimen sebelum ini diperlukan untuk melanjutkan darurat melebihi dua bulan, ia kini hanya diperlukan jika kerajaan merasakan ada keperluan untuk menamatkannya. Ini lantas membolehkan berlakunya darurat yang tidak berkesudahan, sepertimana yang berlaku ekoran kes 13 Mei 1969.

Keduanya, pindaan yang serupa telah dibuat kepada Perkara 149 bagi menghapuskan tempoh tamat satu tahan untuk semua undang-undang menentang anasir subversif serta perbuatan yang memudaratkan ketenteraman awam. Ini bermaksud bahawa undang-undang yang membenarkan penahanan pencegahan seperti Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 dan akta terkenal, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, termasuk jelmaan barunya Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 dan Akta Pencegahan Keganasan 2015, tidak bertujuan untuk kekal dan sepatutnya tamat selepas setahun. Fasal ini dalam Perlembagaan asal merupakan suatu semak dan imbang penting yang menghalang penyalahgunaan undang-undang anti-subversif, khususnya yang melanggar kebebasan asasi sebagaimana yang dinyatakan dalam Perkara 5, 9, 10 dan 13 Perlembagaan.

Seolah-olah mengurangkan pengawasan ke atas undang-undang kritikal tidak mencukupi, kerajaan juga berusaha mengehadkan keupayaan Parlimen untuk bertanya soalan. Satu ciri utama yang menandakan kebebasan perundangan adalah konsep keistimewaan parlimen (parliamentary privilege), iaitu kekebalan undang-undang yang diberikan kepada ahli parlimen dalam kenyataan dan tindakan yang dibuat semasa prosiding Parlimen. Malangnya, ini juga telah dilemahkan apabila Perlembagaan dipinda pada tahun 1971 untuk mengecualikan kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948 dari lingkungan keistimewaan parlimen, sekaligus memberangus ahli parlimen melalui undang-undang zalim era kolonial yang kerap disalahgunakan untuk tujuan politik.

Pada tahun 1992 Parlimen sekali lagi dilemahkan apabila kerajaan memansuhkan Akta Perkhidmatan Parlimen 1963, yang selama ini memberikan kuasa autonomi kepada Parlimen dalam hal ehwal pentadbirannya, termasuk kawalan ke atas kakitangan dan kewangan. Lantaran itu, Parlimen kini menjadi hanya salah satu daripada lebih 60 jabatan dan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri. Secara simbolik, struktur dan juga birokratik, Parlimen kini menjadi badan bawahan kepada eksekutif.

Sistem yang gagal

Negara kita bernasib baik kerana mewarisi institusi awam yang mantap dan Perlembagaan Persekutuan yang jelas memperuntukkan pemisahan kuasa antara ketiga-tiga cabang perlembagaan yang utama.

Walau bagaimanapun, apa yang pada asalnya bertujuan untuk menjadi sistem tiga pihak yang bersifat semak dan imbang, sudah pun merosot kepada satu sistem yang dikuasai secara menyeluruh oleh eksekutif.

Badan kehakiman yang dahulunya dibanggakan kini telah hancur reputasinya, bukan sahaja akibat sekatan struktural tetapi cantasan terhadap kepimpinannya yang memberi kesan jauh lebih parah. Hari ini, institusi kehakiman berdepan krisis keyakinan dalam kalangan orang ramai, tambah lagi dengan insiden seperti skandal pelantikan hakim yang membabitkan VK Lingam serta penggunaan berterusan sistem kehakiman untuk kes bermotifkan politik terhadap ramai pemimpin pembangkang.

Kini, Parlimen hanya wujud sebagai sebuah jasad tanpa rohnya. Meskipun usul dibentang dan rang undang-undang diluluskan tetapi hakikatnya Dewan yang mulia ini telah menjadi sekadar cop getah semata-mata. Institusi ini telah direndahkan martabatnya sehinggakan pindaan kepada peraturan mesyuarat sendiri pun memerlukan kelulusan Kabinet.

Malu, saya tersenyum dan mengangkat bahu saya kepada perwakilan Vietnam yang duduk di sebelah saya. Tanpa mempunyai jawapan yang baik kepada soalannya, saya hanya berkata, “panjang ceritanya.” – Roketkini.com

*Zairil ialah Ahli Parlimen Bukit Bendera