Berita

Bajet 2017: Ambil pendapat rakyat secara menyeluruh, bukan sekadar gimik

GEORGETOWN, 7 SEPTEMBER: Pelawaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk masyarakat menyumbang saran dalam merangka Bajet 2017 yang akan dibentangkan di Parlimen Oktober nanti dibimbangi menjurus kepada tindakan gimik semata-mata.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim mengakui bahawa idea bajet penyertaan (participatory budget) seumpama itu adalah baik dalam mewujudkan kesedaran masyarakat, namun ia tidak seharusnya dihadkan kepada pungutan suara secara atas talian.

Beliau yang berpengalaman dalam memperkenal, mempromosi dan menggerakkan Bajet Gender Responsif dan Penyertaan (GRPB) di Pulau Pinang, justeru mencadangkan supaya Najib yang juga Menteri Kewangan mengambil iktibar daripada beberapa rangka kerja projek itu.

Jelas Steven Sim, kerajaan Persekutuan perlu menyediakan akses kepada maklumat berkaitan bajet negara bagi membolehkan rakyat membuat keputusan berdasarkan maklumat tersebut.

“Mesti ada peluang untuk penilaian dasar, iaitu bagaimana sesuatu keputusan belanjawan akan memberi kesan kepada matlamat tertentu, contohnya kesaksamaan gender dan pengedaran mengikut kelas sosial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, kerajaan juga perlu ‘turun padang’ menyantuni komuniti kecil seperti di kampung-kampung dan perumahan kos rendah bagi memastikan suara mereka didengari, tanpa mengira jantina dan peringkat umur.

“Mereka juga perlu diberi peluang untuk terus memantau perbelanjaan kerajaan untuk memastikan bahawa bajet yang dirancang dipatuhi, dan (dibenarkan) untuk campur tangan apabila pelaksanaan tidak mencapai matlamat belanjawan (yang dibentangkan).

“Laporan dan perakaunan yang sesuai perlu dijalankan untuk membolehkan anggaran penilaian perbelanjaan kerajaan pada akhir tahun,” katanya.

Najib dalam satu twitnya Isnin lalu mempelawa masyarakat untuk menyumbang idea dalam penyediaan Bajet 2017 secara atas talian di sebuah laman sesawang yang dicipta khas untuk pungutan suara berkenaan sehingga 19 September ini.

Masa yang diperuntukkan meneliti belanjawan tidak mencukupi

Namun, menurut Steven Sim, pendapat umum masyarakat tidak membawa apa-apa makna sekiranya Ahli Parlimen tidak diberi cukup bahan, ruang dan masa untuk meneliti dan berbahas mengenai bajet yang akan dibentangkan nanti.

“Dalam sesi bajet akan datang, Ahli Parlimen (MP) hanya diberikan enam hari untuk membahaskan bajet.

“Bagi 35 kementerian termasuk portfolio menteri dalam Pejabat PM, Ahli Parlimen diberi sembilan hari untuk meneliti setiap bajet menteri di Peringkat Jawatankuasa.

“Dokumen bajet tidak diberikan awal-awal dan Ahli Parlimen, terutama Ahli Parlimen pembangkang perlu membaca berjilid-jilid dokumen bajet untuk mengambil bahagian dalam perbahasan yang akan berlangsung hanya beberapa hari,” katannya – Roketkini.com