Berita

Kerajaan digesa percepatkan gubal akta baru untuk banteras judi haram

KUALA LUMPUR, 9 SEP: Kerajaan UMNO digesa memainkan peranannya dalam membanteras kegiatan judi haram di negara ini dengan mempercepatkan penggubalan akta baru bagi mengekang jenayah seumpamanya, sesuai dengan perkembangan teknologi semasa.

Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan, Lim Lip Eng berkata Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang kini berusia hampir 60 tahun tidak berguna apabila berhadapan dengan kegiatan jenayah judi haram elektronik yang semakin berkembang saat ini.

Mengakui telah membangkitkan mengenai perkara itu dalam sesi Parlimen sebelum ini dan sedang menunggu semakan semula kerajaan, beliau justeru mengkritik tindakan lembab kabinet Barisan Nasional (BN) dalam mengambil keputusan terhadap isu terbabit.

“Proses ini tidak seharusnya mengambil masa yang panjang kerana kita boleh sahaja mengambil contoh dari negara-negara maju seperti Singapura dan Amerika Syarikat tentang bagaimana mereka menjalankannya di negara masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sambil memuji tindakan Kerajaan Negeri Johor dalam menyenarai hitam premis yang terlibat dengan kegiatan judi haram, Lip Eng berkata, dasar seumpama itu tidak seharusnya terhad di peringkat kerajaan negeri sahaja, malah perlu dilaksanakan di peringkat kerajaan Persekutuan.

“Kenapa hanya terhad di Johor sahaja? Ia sebaiknya dijadikan dasar nasional, di bawah satu akta baru yang boleh dikuatkuasakan di seluruh negara.

“Dasar senarai hitam ini juga boleh dikembangkan bukan setakat judi haram, malah cabang-cabang maksiat yang lain termasuk rumah pelacuran,” katanya yang juga Ahli Parlimen Segambut.

Katanya, penguatkuasaan akta itu juga perlu diperluaskan kepada penjawat awam yang didapati terlibat dalam kegiatan rasuah dan membantu pemilik premis judi haram beroperasi.

Beliau merujuk kes di mana 20 anggota polis diberkas oleh pasukan khas Bukit Aman ketika sedang leka bermain judi di sebuah premis judi haram di ibu kota baru-baru ini.

“Masanya telah tiba untuk meningkatkan hukuman ke atas penjawat awam yang terlibat, dan hukuman penjara mesti dikenakan sekiranya mereka didapati bersalah.

“Apakah hukuman yang bakal dikenakan ke atas 20 anggota polis yang diberkas bermain judi itu? Adakah sekadar tindakan tatatertib atau hanya dipecat?” Soalnya. – Roketkini.com