Berita

Putrajaya mesti tolak cadangan beri lesen pinjaman perumahan kepada pemaju

KUALA LUMPUR, 9 SEP: DAP menggesa Putrajaya supaya tidak meneruskan cadangan untuk memberi lesen pemberi pinjaman wang kepada pemaju perumahan kerana ia akan hanya menguntungkan pemaju dan membawa mudarat kepada rakyat dengan menggalakkan mereka berhutang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Damansara Utama, Yeo Bee Yin berkata skim baru itu membolehkan pemaju menjual hartanah mereka pada harga lebih tinggi serta membuka satu lagi saluran pendapatan melalui pembiayaan pembelian unit mereka.

“Manakala rakyat pula terpaksa menggalas beban hutang yang besar dengan kadar faedah yang langsung tidak menguntungkan. Dengan sistem ini, kerajaan Barisan Nasional hanya menjadi kerajaan kepada satu peratus daripada piramid ekonomi,” katanya.

Beliau mengulas cadangan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar semalam supaya pemaju perumahan diberi lesen pemberi pinjaman wang, kononnya bagi membantu pembeli rumah yang berdepan kesukaran untuk membuat pinjaman bank.

Bee Yin berkata, kadar faedah yang boleh dikenakan oleh pemaju, iaitu 18 peratus tanpa cagaran dan 12 peratus dengan cagaran adalah terlalu tinggi dan amat membebankan pembeli.

“Adakah Putrajaya cuba menjadikan pemaju sebagai ‘ah long’ kepada pembeli rumah?” soalnya, sambil menambah, keputusan Bank Negara mengetatkan keperluan kelulusan pinjaman bagi bank sebelum ini adalah bagi memastikan hutang isi rumah Malaysia berada pada tahap terkawal.

“Namun, membenarkan skim ini akan hanya memburukkan lagi masalah hutang isi rumah di Malaysia, malah menjadikan isi rumah lebih mudah terkena kejutan ekonomi,” tegasnya lagi.

Bee Yin turut mempersoal sama ada skim baru tersebut adalah bagi membantu pemaju perumahan menjual unit-unit yang masih tidak terjual tanpa mengira latar belakang sosio-ekonomi rakyat Malaysia hari ini.

“Dilaporkan bahawa terdapat peningkatan sebanyak 16 peratus daripada unit hartanah yang belum dijual pada suku pertama 2016, bermakna 18,908 daripada 81,894 unit masih tidak terjual.” – Roketkini.com