Rencana

Adakah Malaysia sudah menjadi negara polis?

Adakah Malaysia sudah menjadi negara polis apabila pihak polis tidak boleh ditegur sehingga Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar dengan angkuhnya memberi amaran kepada Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, supaya tutup mulut hanya kerana bertanya mengapa siasatan lambat dibuat?

Tindakan KPN memberi amaran terhadap Teo Nie Ching, semata-mata kerana wakil rakyat tersebut mendesak polis menjalankan siasatan segera berhubung satu dakwaan ugutan terhadap pemimpin Bersih 2.0, membuktikan kebebasan bersuara yang sudah pun terhad di Malaysia kini semakin terhakis.

Teo Nie Ching hanya menjalankan tugasnya sebagai Ahli Parlimen yang menuntut keadilan dilaksanakan berikutan ugutan oleh ketua kumpulan Baju Merah, Mohd Ali Baharom yang mengancam nyawa Pengerusi Bersih 2.0. Maria Chin Abdullah. Teo Nie Ching membuat kenyataan beliau kerana mendapati pihak polis belum berbuat apa-apa selepas ugutan tersebut dibuat secara terbuka.

Semata-mata menyuarakan pandangannya, Teo Nie Ching diberi amaran keras agar tidak mencampuri urusan polis serta tidak mempolitikkan isu tersebut. Saya tidak faham apa yang tidak boleh dicampuri dan apa yang dikatakan dipolitikkan. Ahli Parlimen adalah wakil kepada rakyat dan beliau berhak bersuara. Apakah Ahli Parlimen hanya perlu membisu apabila melihat ugutan, ancaman dan hal-hal jenayah berlaku di depan mata?

Begitu juga dengan kes Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi, yang terlibat dalam isu tweet tentang kematian Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din. Saya sendiri telah membuat teguran terhadap tweet Jeff Ooi sebagai tidak sensitif dan melahirkan perassan kesal kepada keluarga Allahyarham.

Namun, apabila KPN mengeluarkan kenyataan bahawa Jeff Ooi “mulut gatal” dan menuntut agar Jeff Ooi menyerah diri atau menghadapi tindakan polis, ia menggambarkan seolah-olah berlaku jenayah besar. Apakah tweet yang “tidak sensitif” atau seorang yang “mulut gatal” sudah menjadi jenayah besar di Malaysia? KPN juga dilaporkan mengatakan bahawa Jeff Ooi akan disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang berkaitan dengan sesuatu yang menimbulkan kebencian atau berniat jahat untuk menjejaskan keharmonian.

Disamping itu, tindakan oleh KPN bersifat double-standard. Persoalannya, mengapa tindakan polis dan layanan yang sama tidak dikenakan terhadap Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad? Apa yang Datuk Nawawi lakukan jauh lebih teruk. Nawawi telah mengaitkan identiti “Malaysian Official 1” atau MO1 yang dituduh terlibat dalam pencurian dana 1MDB oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ), dengan Yang di-Pertuan Agong.

Yang di-Pertuan Agong adalah Raja dan Ketua Negara Malaysia yang tidak boleh dihina, dituduh atau dipermain-mainkan. Ia adalah jaminan Perlembagaan Persekutuan. Tetapi martabat dan peranannya YDPA telah dihina sebagai MO1 yang terlibat dalam skandal 1MDB. Skandal 1MDB terjijik yang mencuri wang rakyat Malaysia sehingga kerajaan Amerika Syarikat ingin merampas aset USD1 Billion milikan pegawai 1MDB. Namun, tiada sebarang tindakan terhadap Ahli Parlimen UMNO itu yang lebih teruk daripada “mulut gatal”!

Bukankah ini pilih kasih atau double standard?

Malah, apabila pemimpin DAP, Karpal Singh, meninggal dunia pada April 2014, bekas pemimpin Perkasa, Zulkifli Noordin telah menulis tweet: “Dalam keadaan kemelut kerajaan PAS Kelantan mahu melaksanakan hudud dengan bantuan Umno, Allah telah matikan Karpal yang menjadi penentang utama pelaksanaannya!”

Tetapi tidak ada sebarang tindakan dikenakan terhadap penulis tweet tersebut. Inilah yang menjadikan pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang di Malaysia semakin tidak adil kerana berlakunya double standard yang jelas lagi terang. – Roketkini.com

*Kenyataan media Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan