Berita

Anugerah dibatal kerana sumber dana diragui, Rosmah digesa beri penjelasan

KUALA LUMPUR, 20 SEP: Kerajaan perlu memberi penjelasan terperinci tentang sumber pembiayaan program pendidikan awal kanak-kanak, Permata yang diilhamkan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Ia berikutan pendedahan Antiquites Coalition bahawa Permata dikeluarkan pada saat akhir daripada senarai penerima anugerah ‘Lead By Example’ yang dianjurkannya kerana wujud keraguan berhubung sumber kewangan organisasi tersebut.

“Adakah Permata menerima sebarang sumbangan daripada syarikat 1MDB atau mana-mana anak syarikatnya?” soal Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng.

“Selain sumber kewangan, kerajaan, pemberi dana dan Rosmah sendiri sebagai penaung Permata juga perlu menerangkan bagaimana ia dibelanjakan.”

Rosmah sebelum ini dijadual menerima anugerah tersebut pada majlis A Tribute to Heroes in the Global Campaign Against Violent Extremism di New York pada Khamis ini, namun penganugerahan itu dibatalkan semalam.

Dalam kenyataan yang sama, Lip Eng turut menggesa Naib Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, Datuk Seri Alias Ahmad memohon maaf atas kesilapan laporan berita berkaitan penganjuran anugerah ‘Lead By Example’ itu.

Alias yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan memberitahu Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebelum ini bahawa anugerah kepada Rosmah itu adalah dari UNESCO.

Namun, pihak Antiquites Coalition menafikan dakwaan tersebut, malah bertegas bahawa anugerah itu tidak ada kaitan sama sekali dengan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkenaan.

“Hanya ada dua kemungkinan kenapa Alias membuat kenyataan salah kepada Bernama. Pertama, beliau mungkin benar-benar telah tersilap dan menyangka ia daripada UNESCO.

“Kedua, Alias mungkin mereka-reka cerita dengan tujuan supaya beliau disenangi oleh ‘Wanita Pertama’ itu (Rosmah) dan suaminya.

“Tidak kiralah sama ada ia satu pembohongan atau kesilapan, Alias mesti memohon maaf,” tegas Lip Eng. – Roketkini.com