Berita

DAP bidas Ketua Polis Negara, bimbang Malaysia terjerumus menjadi ‘Negara Polis’

GEORGE TOWN, 20 SEP: DAP membidas sikap angkuh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Khalid Abu Bakar yang memberi amaran terhadap Teo Nie Ching berhubung gesaannya agar polis melakukan siasatan segera terhadap Mohd Ali Baharom (Ali Tinju).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Ahli Parlimen Kulai itu hanya menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat dalam menuntut keadilan berikutan ugutan Ketua Kumpulan Baju Merah berkenaan yang mengancam nyawa Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah.

“Adakah Malaysia sudah menjadi negara polis apabila polis tidak boleh ditegur sehingga Abdul Khalid dengan angkuhnya memberi amaran kepada Nie Ching supaya tutup mulut hanya kerana bertanya mengapa siasatan lambat dibuat?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, tindakan Abdul Khalid juga telah membuktikan bahawa kebebasan bersuara yang sudah pun terhad di Malaysia kini semakin terhakis.

“Semata-mata menyuarakan pandangannya, Teo Nie Ching diberi amaran keras agar tidak mencampuri urusan polis serta tidak mempolitikkan isu tersebut.

“Saya tidak faham apa yang tidak boleh dicampuri dan apa yang dikatakan dipolitikkan. Ahli Parlimen adalah wakil kepada rakyat dan beliau berhak bersuara.

“Apakah Ahli Parlimen hanya perlu membisu apabila melihat ugutan, ancaman dan hal-hal jenayah berlaku di depan mata?” soalnya.

Ali Tinju yang juga bekas anggota tentera seperti yang dilaporkan media pada Rabu lepas, memberi amaran selepas Maria mengumumkan bahawa perhimpunan aman Bersih 5 akan diadakan pada 19 November akan datang.

“Jangan cabar kami. Nanti kami akan buatkan kaki dia (Maria) ke atas, kepala dia ke bawah jalan,” katanya seperti dipetik protal berita, Free Malaysia Today (FMT).

Polis amalkan dwi-standard

Dalam pada itu, Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut menempelak sikap dwi-standard Ketua Polis Negara terhadap mereka yang didapati mengeluarkan ucapan menyinggung sensitiviti golongan tertentu.

Menurutnya, polis dilihat lebih cekap menghukum individu seperti Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi berbanding Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad yang telah mengaitkan identiti ‘Malaysian Official 1’ atau MO1 yang dituduh terlibat dalam pencurian dana 1MDB oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ), dengan Yang di-Pertuan Agong.

Begitu juga dengan bekas pemimpin Perkasa, Zulkifli Noordin yang telah menyinggung perasaan keluarga mendiang Karpal Singh dengan tweet beliau ketika pemimpin veteran DAP itu meninggal dunia dua tahun lalu.

“Mengapa tindakan polis dan layanan yang sama tidak dikenakan terhadap Datuk Nawawi? Apa yang Datuk Nawawi lakukan jauh lebih teruk.

“Tetapi tidak ada sebarang tindakan dikenakan terhadap penulis tweet tersebut. Inilah yang menjadikan pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang di Malaysia semakin tidak adil kerana berlakunya dwi-standard yang jelas lagi terang,” katanya.

Jeff Ooi hari ini menyerah diri kepada pihak polis setelah diarahkan oleh KPN ekoran tweetnya yang kurang sensitif berhubung kematian Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din.

Beliau disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, berkaitan dengan sesuatu yang menimbulkan kebencian atau berniat jahat untuk menjejaskan keharmonian

“Saya sendiri telah membuat teguran terhadap tweet Jeff Ooi sebagai tidak sensitif dan melahirkan perasaan kesal kepada keluarga Allahyarham.

“Namun, apabila IGP mengeluarkan kenyataan bahawa Jeff Ooi ‘mulut gatal’ dan menuntut agar Jeff Ooi menyerah diri atau menghadapi tindakan polis, ia menggambarkan seolah-olah berlaku jenayah besar.

“Apakah tweet yang “tidak sensitif” atau seorang yang “mulut gatal” sudah menjadi jenayah besar di Malaysia?” soal Guan Eng. – Roketkini.com