Berita

Persempadanan semula bakal jadi penyebab Selangor jatuh ke tangan BN

KUALA LUMPUR, 20 SEP: Cadangan persempadanan semula di Selangor menyaksikan pengundi pro-pembangkang ‘dihimpun’ ke dalam satu kawasan parlimen yang sama, manakala pengundi pro-kerajaan pula dipecahkan kepada beberapa kawasan kecil.

Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua berkata cadangan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu adalah bagi membolehkan Barisan Nasional (BN) merampas kembali negeri itu pada pilihan raya umum yang bakal tiba.

Jelasnya, ia merupakan satu-satunya muslihat yang boleh dimainkan BN berikutan populariti parti itu yang semakin menurun di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ekoran skandal kewangan 1MDB yang masih tidak selesai, serta pelaksanaan cukai GST.

“Jadi, BN terpaksa melukis semula sempadan kawasan pilihan raya sehingga membolehkan parti itu dijamin kemenangan besar walaupun undi popular mereka terus merosot.

“Cara termudah adalah menghimpunkan pengundi pro-pembangkang ke satu kawasan pilihan raya yang besar, iaitu dengan lebih 100 ribu pengundi. Pengundi pro-kerajaan pula dipecahkan kepada beberapa kawasan lebih kecil,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara mendedahkan bahawa kawasannya yang akan dinamakan semula sebagai ‘Damansara’ menjadi kawasan tunggal terbesar dengan 150,439 pengundi setelah mengalami peningkatan sebanyak 76.2 peratus.

Sebaliknya, kawasan parlimen Subang yang kini ditukar kepada ‘Sungai Buloh’ mengalami pengurangan pengundi berikutan kawasan DUN Bukit Lanjan dialih ke parlimen Damansara.

Bukit Lanjan telah menyumbang majoriti 17,200 undi kepada parlimen Subang sehingga memberi kemenangan majoriti kepada R. Sivarasa dari PKR pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu.

Menurut Tony, analisa oleh DAP baru-baru ini mendapati Damansara mampu memperoleh kemenangan dengan majoriti 73,533 undi namun Sungai Buloh akan menjadi kerusi marjinal.

Beliau menjelaskan, berdasarkan corak mengundi pada tahun 2013, sekurang-kurangnya tujuh kerusi DUN akan dirampas kembali oleh BN iaitu Sabak, Hulu Kelang, Sementa, Selat Kelang, Pelabuhan Kelang, Sijangkang dan Morib.

“Pada masa sama, majoriti untuk sekurang-kurangnya 10 kerusi akan jauh berkurang bagi meletakkan mereka dalam jangkauan calon-calon BN.

“Dengan persempadanan tidak sekata serta tidak adil ini, ditambah pula dengan kempen agresif mereka menggunakan retorik kaum dan agama, berkemungkinan besar Selangor akan jatuh kembali ke tangan BN,” ujarnya.

Sehubungan itu, Tony berkata, Jawatankuasa DAP Selangor akan mengadakan pertemuan hari ini bagi membincangkan hasil kajian serta langkah-langkah yang wajib diambil bagi memastikan rakyat Selangor tidak ‘dirompak’ mandatnya dalam pilihan raya akan datang. – Roketkini.com