Berita

Persempadanan semula: Mana janji hadkan 100,000 pengundi?

KUALA LUMPUR, 20 SEP: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang hari ini sekali lagi mempersoalkan sama ada usul persempadanan semula kawasan pilihan raya yang menjadi pertikaian pelbagai pihak baru-baru ini semata-mata dirangka demi kelangsungan politik UMNO.

Ini kerana, menurut beliau, usul yang dikemukakan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) itu pada Khamis lepas langsung tidak mencerminkan semangat demokrasi “satu orang, satu undi”, malah didakwa melanggar peruntukan Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, peruntukan berkenaan menyatakan bahawa setiap kawasan pilihan raya di dalam sesuatu negeri hendaklah mempunyai bilangan pengundi lebih kurang sama banyak kecuali kawasan luar bandar yang mempunyai kesulitan tertentu.

“Jadual Ketiga Belas memperuntukkan kewajaran (perbezaan jurang pengundi) antara kawasan-kawasan luar bandar, tetapi jurang perbezaan pengundi antara kawasan bandar dan luar bandar perlu sentiasa merapat dan tidak melebar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dengan memberi contoh dua kawasan Subang Jaya (bandar) dan Sungai Air Tawar (luar bandar) di Selangor, katanya, jurang perbezaan pengundi di antara kedua-dua kawasan tersebut kini telah melebar berbanding Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu.

Melalui cadangan persempadanan itu, menurutnya, Sungai Air Tawar mengalami penurunan jumlah pengundi iaitu 15,033 berbanding 15,187 pada PRU-13 lepas, manakala Subang Jaya mencatatkan peningkatan jumlah pengundi daripada 61,688 kepada 66,059.

“Mengapa SPR meluaskan dan bukannya merapatkan jurang pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor, jika tidak ada agenda tersembunyi dalam penyusunan semula persempadanan itu untuk memberi manfaat kepada UMNO?” soalnya.

Sejak usul itu diutarakan SPR minggu lalu, ia telah mendapat tentangan keras Pakatan Harapan ekoran didakwa bakal memberi kelebihan besar kepada UMNO pada pilihan raya umum akan datang.

Parti komponen Barisan Nasional, MCA seperti yang dilaporkan media pula mendakwa hampir 80 peratus kawasannya bakal terjejas ekoran daripada usul persempadanan semula itu.

Mengulas lanjut, Kit Siang berkata, usul tersebut turut membelakangi prisip yang pernah dibentangkan mantan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada tiga tahun lalu, untuk memastikan kawasan pilihan raya akan dihadkan kepada 100,000 jumlah pengundi.

“Mengapa Datuk Mohd Hashim Abdullah (Pengerusi SPR) meninggalkan prinsip Perlembagaan dan demokrasi yang penting dalam usul itu? Adakah ini atas perintah orang yang berkuasa dalam UMNO?” soalnya.

Kawasan-kawasan yang mempunyai lebih 100,000 pengundi ialah Damansara (Petaling Jaya Utara), Bangi, Klang, Petaling Jaya (Petaling Jaya Selatan), Subang (Kelana Jaya), Gelang Patah, Kota Raja, Pasir Gudang, Kota Melaka, Kuala Terengganu, Sungai Petani, Tumpat dan Kapar.

Pada Disember 2013, Abdul Aziz seperti yang dilaporkan akhbar lidah rasmi UMNO, Utusan berkata, SPR akan berusaha untuk memecahkan kawasan-kawasan pilihan raya bagi memastikan ia hanya mengandungi tidak lebih 100,000 pengundi. – Roketkini.com