Berita

DAP gesa polis dedah siasatan terhadap Ali Tinju

GEORGE TOWN, 21 SEP: DAP menggesa Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memaklumkan kepada umum berhubung tindakan lanjut yang akan diambil pihaknya ke atas ugutan yang ditimbulkan Mohd Ali Baharom atau Ali Tinju terhadap Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, adalah penting untuk masyarakat mengetahui perkembangan di sebalik siasatan berkenaan kerana tingkah laku samseng dan membelakangi kedaulatan undang-undang Ketua Kumpulan Baju Merah itu tidak sewajarnya dibiarkan.

“Oleh kerana seriusnya dakwaan terhadap Ali Tinju itu, saya menyeru Ketua Polis Negara untuk mendedahkan kepada umum jika siasatan terhadap Ali Tinju itu menunjukkan wujudnya sebarang kesalahan di pihak beliau, dan sama ada beliau akan didakwa,” katanya yang juga seorang peguam dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan portal Free Malaysia Today (FMT) hari ini yang mendedahkan perbualan wartawannya dengan Ali Tinju selepas bekas anggota tentera itu menafikan pernah mengeluarkan kenyataan mengugut Maria Chin.

Ali Tinju seperti yang dipetik FMT berkata akan menyerang hendap Maria Chin di mana-mana sahaja dan “akan buatkan kaki dia (Maria Chin) ke atas, kepala ke bawah jalan”.

“Dia kena ingat, saya takut dia nanti tidak akan berjalan di atas bumi. Ini kata-kata bekas tentera. Jangan cabar kami nanti kami akan buatkan kaki dia ke atas, kepala ke bawah jalan,” katanya seperti dipetik FMT.

Pendedahan tersebut dibuat setelah Ali Tinju mendakwa kenyataan ugutannya itu telah disalah petik oleh FMT.

Isnin lepas, polis mengesahkan bahawa mereka sedang menyiasat Ali Tinju di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. – Roketkini.com