Berita

‘Tangkap mereka!’ Kit Siang pun main Pokemon Go

JAKARTA, 21 SEP: Permainan atas talian ‘Pokemon Go’ tidak sahaja digemari golongan muda, malah turut diminati mereka yang tidak begitu muda, termasuk Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Beliau juga nampaknya tidak mahu ketinggalan, malah kini berada di tahap 23 dalam permainan tersebut.

steven-simGambarnya sedang berjalan di lapangan terbang Jakarta sambil menggenggam telefonnya yang memaparkan antaramuka permainan popular itu dikongsi oleh Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim di laman sosial Facebook.

Orang ramai kemudiannya menunjukkan reaksi gembira dan memuji pemimpin berusia 75 tahun itu yang disifatkan sebagai berjiwa muda.

Dihubungi Roketkini, Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata beliau tidak mahu ketinggalan dalam trend semasa, dan ingin memahami kenapa permainan tersebut diminati segenap lapisan masyarakat.

“Ia juga sangat berguna sebagai panduan pelancong, terutamanya di Jogja,” ujar beliau.

Beliau turut berkongsi rakaman skrin permainan tersebut di laman Facebook rasminya dengan slogan popular permainan tersebut, ‘Gotta catch ’em all!’whatsapp-image-2016-09-21-at-15-45-54

Kit Siang dalam rangka lawatan ke Jakarta dan Jogja selama satu minggu bersama Ahli-ahli Parlimen DAP, Teresa Kok, Steven Sim dan Zairil Khir Johari bagi memahami sosiopolitik Islam, sebagai lanjutan kepada siri lawatan ke negara-negara Timur Tengah tahun lalu.

Di Jakarta, delegasi pimpinan Kit Siang telah mengadakan pertemuan dengan tokoh-tokoh intelektual Indonesia, termasuk Goenawan Mohamad di Komunitas Salihara serta bertandang ke Gedung Pengurus Besar Nahdlatul Ulama, dan disambut mesra oleh Kyai Haji Yahya Staquf, Setiausaha Agung Majlis Syura NU.

Rombongan tersebut berlepas ke Jogja hari ini, melawat Pesantren Sunan Pandan Aran di samping beberapa pertemuan lain. – Roketkini.com