Berita

DAP Selangor sepakat mahu pilihan raya awal, tidak timbul soal ‘khianat mandat’

KUALA LUMPUR, 21 SEP: Pakatan Harapan bakal meniti laluan getir dalam mengekalkan kuasa pentadbiran di Selangor sekiranya cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dibentangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Rabu lepas diluluskan.

Sehubungan itu, DAP Selangor dalam satu mesyuarat tergempar yang diadakan semalam, sepakat bersetuju bahawa pilihan raya awal wajar dijalankan di negeri itu demi mengelak daripada terpaksa mengguna pakai peta baharu SPR.

Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua dalam satu sidang media di Ibu Pejabat DAP berkata, sesiapa pun yang mengetahui agenda tersembunyi di sebalik usul tersebut akan bersetuju bahawa pilihan raya awal di negeri itu perlu diadakan.

“Namun, keputusan rasmi akan diputuskan oleh pemimpin tertinggi Pakatan Harapan,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali seperti dilaporkan media menolak cadangan pilihan raya awal dilaksanakan di negeri itu dengan alasan tidak mahu ‘khianat mandat yang diberikan oleh rakyat Selangor pada pilihan raya umum lalu’.

Menyatakan pendapat yang berbeza, Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, penggal bagi Pakatan untuk mentadbir Selangor akan berakhir lebih kurang setahun dan kelulusan untuk mengadakan pilihan raya negeri perlu memakan masa hampir lapan ke 12 bulan.

Peluang menang lebih cerah

“Dalam tempoh untuk mendapat kelulusan untuk buat pilihan raya, penggal untuk Pakatan mentadbir sebenarnya sudah semakin hampir tamat.

“Justeru, (mengambil kira situasi itu) tidak timbul soal mengenai mandat,” katanya sambil menambah bahawa cadangan pilihan raya awal di negeri itu, bagaimanapun, perlu melalui proses perkenan Sultan Selangor seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negeri.

Malah, Tony berpandangan bahawa peluang untuk Pakatan Harapan menang di Selangor lebih cerah jika pilihan raya awal dilaksanakan sebelum usul persempadanan kawasan pilihan raya itu diluluskan di Dewan Rakyat.

Usaha BN untuk merampas Selangor telah digagalkan dalam Pilihan Raya Umum pada 2008 dan 2013. Justeru, usul persempadanan semula itu dilihat pihak pembangkang sebagai cara UMNO untuk merampas negeri itu melalui konspirasi dan perancangan licik.

Terdahulu, Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP dalam sidang media yang sama menjelaskan terdapat lambakan pengundi berdasarkan kaum di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen berdasarkan usul SPR berkenaan.

Kawasannya yang bakal diperkenalkan semula sebagai ‘Damansara’ telah mengalami peningkatan mendadak pengundi berbanding Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu dan menjadi kawasan tunggal terbesar dengan 150,439 pengundi setelah mengalami peningkatan sebanyak 76.2 peratus. – Roketkini.com