Berita

Persempadanan semula: Bantahan MCA dan Gerakan tak ada makna pada UMNO

KUALA LUMPUR, 21 SEP: DAP mempersoalkan sama ada bantahan beberapa parti komponen Barisan Nasional (BN) terhadap usul persempadanan semula kawasan pilihan raya baru-baru ini dilihat memberi apa-apa makna dan kesan.

Persoalan berkenaan dilontarkan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang selepas mendapati pemimpin BN selain UMNO, khususnya MCA dan Gerakan tidak serius memperjuangkan prinsip ‘konsensus’ dalam BN dan menerima peranan bawahan sahaja.

Justeru katanya, mesyuarat yang akan diadakan BN Jumaat nanti, berhubung usul persempadanan kawasan pilihan raya yang dibentangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Rabu lepas itu, adalah tidak perlu dan tidak relevan.

“Ini kerana tidak ada seorang pun pemimpin daripada 13 parti bukan UMNO dalam BN akan berani untuk menuntut agar SPR mendedahkan semua draf cadangan persempadanan semula yang telah dipertimbangkan oleh SPR,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kit Siang dalam kenyataan sebelum ini, mempersoalkan sama ada usul SPR itu dirangka semata-mata untuk memberi kemenangan kepada UMNO.

Untuk sekian lama selepas bubarnya Parti Perikatan, UMNO dilihat ramai pihak secara jelas mendominasi BN dalam pelbagai aspek keputusan dan perancangan.

Semalam, Presiden MCA, Liow Tiong Lai seperti yang dilaporkan media berkata 26 daripada 40 kerusi Parlimen yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Umum akan datang mungkin terjejas ekoran daripada usul yang dikemukakan SPR itu.

Tiong Lai turut mendakwa ia membahagikan pengundi mengikut pecahan kaum. Presiden Gerakan, Mah Siew Keong dilaporkan turut menyatakan kebimbangan yang sama.

Pakatan Harapan pula menyifatkan usul tersebut tidak mencerminkan prinsip “satu orang, satu undi” dan dirangka semata-mata untuk memberi kemenangan kepada UMNO, selain usaha untuk mematikan kerjaya beberapa tokoh politik yang lantang mengkritik BN.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, draf usul SPR berhubung cadangan persempadanan kawasan pilihan raya itu perlu didedahkan bagi menunjukkan bahawa SPR telah bertindak dengan cara yang bertanggungjawab, telus, demokratik dan berpelembagaan.

Ia juga, katanya, bagi memastikan bahawa SPR telah mengambil kira jaminan yang pernah disuarakan mantan pengerusi badan tersebut, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada tiga tahun lalu, untuk memastikan kawasan pilihan raya akan dihadkan kepada 100,000 jumlah pengundi.

Pada Disember 2013, Abdul Aziz seperti yang dilaporkan akhbar lidah rasmi UMNO, Utusan berkata, SPR akan berusaha untuk memecahkan kawasan-kawasan pilihan raya bagi memastikan ia hanya mengandungi tidak lebih 100,000 pengundi. – Roketkini.com