Berita

Jerebu: DAP sokong dakwa syarikat Malaysia, asalkan ada peruntukan undang-undang

KUALA LUMPUR, 23 SEP: DAP sedia mempertimbangkan cadangan untuk mana-mana syarikat Malaysia yang beroperasi di Indonesia dan menjadi punca berlakunya masalah jerebu didakwa mengikut sistem perundangan negara ini.

Bagaimanapun, menurut Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Zairil Khir Johari, tindakan hanya boleh diambil sekiranya peruntukan undang-undang seumpama itu wujud dan sedia digubal.

“Masalah jerebu ini adalah tanggungjawab bersama. Mungkin ia berpunca dari Indonesia, tapi tidak dinafikan terdapat juga syarikat Malaysia yang beroperasi di Indonesia dan mungkin menyumbang kepada masalah tersebut.

“Namun, jika syarikat malaysia tidak terlibat maka tiada yang perlu dikhuatiri, jika mereka semua mengikut tatacara yang elok dan betul dalam melaksanakan operasi,” kata Ahli Parlimen Bukit Bendera itu kepada Roketkini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan Ahli Akademik, Dr Azmi Sharom di Malaysian Law Conference semalam yang menyarankan agar syarikat Malaysia yang beroperasi di Indonesia dan didapati mengakibatkan masalah jerebu didakwa mengikut sistem perundangan negara ini.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago seperti yang dilaporkan Roketkini sebelum ini menggesa supaya Kerajaan Persekutuan menggubal undang-undang merentasi sempadan bagi mengatasi masalah jerebu.

Menurut Charles, ia perlu digubal kerana jalan penyelesaian secara diplomatik dilihat gagal menangani masalah tersebut saban tahun.

Lebih memburukkan lagi, kumpulan Pakar Penyelidik Universiti Harvard dan Universiti Columbia, seperti yang dilaporkan, menganggarkan lebih 90,000 kematian di kawasan dekat dengan kebakaran di Indonesia, dan beberapa ribu lagi dikesan di Singapura dan Malaysia. – Roketkini.com