Berita

DAP harap Dr Fauziah selamat pulang, gesa tekanan terhadap Israel

KUALA LUMPUR, 7 OKT: DAP mengutuk tindakan Israel menahan kapal layar Zaytouna-Oliva yang terdiri dari tiga anak kapal dan 10 aktivitis dalam misi kemanusiaan Women’s Boat to Gaza (WBG) yang disifatkan sebagai perbuatan yang amat tidak berperikemanusiaan.

“Kita mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas rejim Israel menahan wanita-wanita yang sedang dalam misi keamanan antarabangsa Gaza itu. Kapal itu membawa bantuan makanan dan perubatan untuk rakyat Gaza yang tertindas di bawah sekatan Israel.

“Tujuan kapal tersebut adalah semata-mata untuk menembus sekatan haram Israel sejak 10 tahun lalu yang telah mengurung hampir 2 juta warga Palestin yang amat memerlukan bantuan kemanusiaan,” ujar Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Pada masa sama, beliau berkata DAP menuntut Amerika Syarikat sebagai sekutu Israel memberi tekanan kepada kerajaan negara terbabit.

“Amerika Syarikat selaku sekutu Israel tidak boleh membiarkan rejim tersebut melakukan keganasan serta melanggar undang-undang antarabangsa sesuka hati jika Amerika mahu dihormati sebagai negara yang menggalakkan demokrasi, kebebasan dan keadilan,” tegasnya.

Pihak tentera Israel pada Rabu lalu telah menahan kapal Zaytouna setelah ia didakwa kononnya menceroboh kawasan perairan mereka sekitar jam 8.58 malam.

Pusat Krisis WBG dan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) sebelum ini mengesahkan kapal Zaytouna-Oliva itu telah terputus hubungan sejak hari Rabu pada jam 8.50 malam (waktu Malaysia).

Selain Dr Fauziah, aktivis-aktivis wanita lain yang terlibat adalah dilaporkan dari Amerika Syarikat, Afrika Selatan, Algeria, Australia, Ireland, Kanada, New Zealand, Norway, Rusia, Sepanyol, Sweden, Turki, Tunisia, dan Israel sendiri.

Kementerian Luar pagi ini telah menerima maklumat bahawa Dr Fauziah Mohd Hasan telah dibebaskan dan akan diterbangkan dari Tel Aviv ke Bangkok. – Roketkini.com