Rencana

Pakatan Harapan dan Barisan Nasional sama sahaja?

Ada orang kata “Pakatan Harapan tak ada beza dengan Barisan Nasional” atau “Kalau pun Pakatan lebih baik sedikit, ia tetap sama korup”. Nampaknya, hujah sebegini datang dari minda malas yang mudah dimanipulasi.

Barisan Nasional yang memerintah sejak 60 tahun lalu (dari zaman Perikatan) telah memperkenalkan demokrasi berparlimen, pilihanraya setiap lima tahun, dan rancangan pembangunan ekonomi negara. Pada masa yang sama, ia juga membawa politik perkauman, diskriminasi dan salahguna kuasa.

Ia menyambung pemerintahan penjajah British dengan cara pecah dan perintah mengikut kaum yang menyebabkan rakyat masih curiga antara satu sama lain hingga ke hari ini.

Hari ini keadaan bertambah buruk apabila Perdana Menteri Malaysia sendiri dikaitkan dengan penyelewengan gergasi dalam skandal 1MDB dan penerimaan wang RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi beliau.

Bagi menutup skandal itu, pemimpin-pemimpin Barisan Nasional, khususnya UMNO, mengeluarkan pelbagai kenyataan tidak masuk akal semata-mata mahu mempertahankan pentadbiran yang korup. Malah, mereka tak malu menjual agama demi kuasa.

Tidak cukup dengan itu, mereka di tampuk kuasa membiarkan kumpulan samseng bermaharajalela mengutuk, mengugut dan mengancam mana-mana rakyat yang mahu kebenaran didedahkan. Malah yang menuntut pilihanraya bersih dan adil juga diancam keselamatan diri mereka.

Jika dibandingkan, era pemerintahan Dr Mahathir Mohamad yang berkuku-besi serta korup sepanjang dekad 1980-an hingga awal alaf baru pun tak seburuk apa yang berlaku sejak tujuh tahun lalu.

(Namun, tak salah jika dikatakan hegemoni pentadbiran Mahathir lah yang telah melahirkan generasi kepimpinan hari ini yang gila kuasa, rasis, kemaruk projek, tamak, dan suka menunggang agama.)

Dengan apa yang sedang berlaku pada masa ini, imej Malaysia sudah buruk dan jijik di mata dunia. Masyarakat global kini melihat Malaysia sebagai sebuah negara kuku besi yang menutup mulut rakyatnya.

Segala kerosakan dan kebinasaan ini menyebabkan masih ramai rakyat kelas pekerja hidup miskin, masih banyak rakyat kelas sederhana ditekan ketempangan ekonomi. Sedangkan mereka di atas sana masih hidup mewah.

Segala kebejatan besar ini tidak dilakukan oleh pemimpin atau anggota mana-mana komponen Pakatan Harapan, baik PKR mahupun DAP atau Amanah.

Walaupun Pakatan Harapan bukanlah gabungan politik yang terbaik, seperti juga diri kita yang bukan manusia terbaik, ia menawarkan alternatif yang lebih baik daripada Barisan Nasional yang sedang membawa kita semua untuk karam bersama.

Jadi, selain segelintir manusia sinis, apa agenda sebenar golongan yang mengatakan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional sama sahaja? – Roketkini.com