Berita

BN hilang dua-pertiga di Johor, bukan lagi deposit tetap UMNO

KLUANG, 7 OKT: Pelantikan Adun Jorak, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh sebagai Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), mengakibatkan Barisan Nasional (BN) kehilangan majoriti dua-pertiga di Dewan Undangan Negeri Johor.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dalam kenyataan mengulas hal tersebut, mengalu-alukan perkembangan terbaru ini.

DUN Johor mempunyai 56 kerusi, dengan 18 daripadanya dikuasai pembangkang dan 13 daripadanya adalah wakil rakyat DAP.

“Keputusan Pilihanraya Umum 2013 adalah satu kejayaan besar buat pembangkang kerana Johor dianggap sebagai kubu kuat parti-parti BN.

“Dengan keluarnya Shahruddin dari UMNO, pembangkang kini mempunyai 19 kerusi atau satu-pertiga kerusi DUN,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Kluang.

Menurutnya, untuk membentuk kerajaan di negeri Johor, pembangkang akan memerlukan sepuluh kerusi sahaja lagi untuk mencukupkan 29 kerusi.

“Tidak syak lagi bahawa Johor sudah bukan kubu BN seperti dahulu,” tambahnya.

Katanya, meski menyedari kepayahan yang bakal ditempuhi pembangkang di Johor, perkembangan terbaru ini telah memecahkan halangan psikologi apabila BN kehilangan majoriti dua-pertiga di negeri itu. – Roketkini.com