Berita

Greenpeace serah petisyen tuntut syarikat Malaysia henti aktiviti sebabkan jerebu

 

PUTRAJAYA, 7 OKT: Greenpeace telah menyerahkan petisyen ditandatangani oleh 300,000 orang ke ibu pejabat IOI Group di sini pada Rabu lalu bagi menuntut syarikat sawit dan hartanah gergasi Malaysia itu memberhentikan semua aktivitinya yang menyumbang kepada masalah jerebu di rantau Asia Tenggara.

Walau bagaimanapun, petisyen yang dibawa oleh aktivis Greenpeace dan wakil-wakil masyarakat sivil tersebut enggan diterima oleh pihak IOI apabila mereka mengunci pintu utama agar kumpulan berkenaan tidak dapat memasuki bangunan.

Petisyen tersebut kemudiannya diletakkan oleh wakil kumpulan di depan pintu masuk bangunan ibu pejabat syarikat sawit ketiga terbesar di dunia itu.

IOI baru-baru ini dikecam oleh kumpulan alam sekitar seluruh dunia kerana ada hubungan dengan pembekal-pembekal yang menyumbang kepada eksploitasi dan salahguna alam sekitar, serta pelanggaran hak-hak serius termasuk kemusnahan hutan Indonesia, kebakaran haram dan buruh kanak-kanak.

Ahli kempen hutan Greenpeace Asia Tenggara, Ratri Kusumohartono berkata sejak beberapa minggu lalu IOI telah dinamakan secara terbuka sebagai penyebab kepada pembakaran hutan hujan Indonesia dan jerebu di rantau ini.

“IOI tidak boleh mengabaikan suara pengguna dan masyarakat prihatin, terutamanya rakyat Malaysia, Singapura dan Indonesia yang mahu melihat aktiviti pembakaran hutan, penyumbang utama kepada jerebu dihentikan serta-merta.

“Semakin IOI tidak mahu berubah, semakin kuat desakan kami agar syarikat itu melindungi hutan hujan di rantau ini,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Penyerahan petisyen kepada IOI itu adalah sebahagian daripada usaha antarabangsa Greenpeace untuk mendedahkan penyelewengan syarikat berkenaan.

Bermula pada 27 September lalu di Jakarta, Greenpeace melancarkan ‘A Deadly Trade-Off’, laporan yang mendokumenkan perdagangan IOI dengan syarikat-syarikat terlibat dalam pelbagai aktiviti kemusnahan hutan dan eksploitasi buruh kanak-kanak dalam industri sawit.

Pada hari yang sama, aktivis Greenpeace termasuk dua ahli komuniti Indonesia yang terjejas oleh aktiviti IOI telah membuat sekatan menghalang import dan eksport minyak sawit syarikat berkenaan di sebuah pelabuhan di Rotterdam, Belanda.

Greenpeace Amerika Syarikat pula pada 3 Oktober lalu telah menerbangkan kapal terbang belon dengan slogan ‘IOI Protect Our Rainforests’ (IOI, Lindungi Hutan Kami) di seluruh San Francisco Bay, kawasan tempat masuk IOI untuk mengimport minyak sawit ke Amerika Utara.

IOI sebelum ini pernah menyatakan secara terbuka bahawa ia mahu memainkan peranannya dalam mengubah industri menjadi lebih mampan dengan meminta lebih ramai pemain industri saling bekerjasama ke arah mencari penyelesaian jangka panjang.

Namun, Greenpeace berkata IOI sepatutnya menghentikan dahulu penglibatannya dengan pembekal-pembekal yang terbukti menyumbang kepada pelbagai masalah alam sekitar sebelum mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa.

“Jika IOI Group benar-benar serius untuk menjadi pemimpin industri, ia kini ada peluang untuk bertindak dengan melindungi hutan dan tanah gambut, menyelesaikan konflik, serta menghormati hak-hak komuniti tempatan,” tegas Ratri. – Roketkini.com