Berita

Provokasi samseng UMNO dan persempadanan semula, tanda Najib terdesak

KUALA LUMPUR,  9 OKT: Tindakan kumpulan samseng UMNO melakukan provokasi ganas terhadap Konvoi Bersih 5 di Sabak Bernam semalam menunjukkan kepimpinan korup itu semakin terdesak dan ketakutan.

Ini kerana, tahap kesedaran politik dalam kalangan rakyat negara ini yang semakin terbuka amat membimbangkan mereka, tambahan pula dengan pilihanraya umum yang semakin hampir.

Mengutuk keras tindakan samseng berbaju merah itu, Pengerusi DAP Kuala Lumpur Tan Kok Wai berkata ia merupakan gambaran awal terhadap tindak tanduk UMNO yang sanggup menggunakan taktik kotor demi kepentingan mereka.

“Kita ramal pilihanraya umum akan datang, UMNO dan BN akan gunakan taktik paling kotor untuk kekalkan kuasanya,” katanya dalam Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pagi tadi.

14590020_10154626181508259_8997955547971627682_oMenurutnya, provokasi melampau kumpulan yang diketuai Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar Datuk Jamal Yunos itu tidak patut berlaku dalam sebuah negara yang menjamin hak bersuara dan berhimpun seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Dalam perkara ini, UMNO harus bertanggungjawab.

“DAP menyokong penuh perhimpunan Bersih 5 yang akan di adakan 19 November hadapan dan akan menggerakkan penyokong untuk menyertainya,” kata Ahli Parlimen Cheras itu.

Selain tindakan samseng, Kok Wai juga menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap cadangan persempadanan semula kawasan pilihanraya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dilihat tidak adil dan hanya akan memberi kemenangan mudah kepada Umno dan Barisan Nasional.

“Berdasarkan analisis yang dibuat Institut Darul Ehsan (IDE), jika persempadanan yang baru ini digunapakai, UMNO akan terus menang mudah walaupun mereka hanya memperoleh undi majoriti sebanyak 35 peratus,” jelas beliau.

Sebab itu katanya, walaupun Pakatan Rakyat mendapat 52 peratus undi popular berbanding BN yang hanya mendapat 47 peratus dalam Pilihanraya Umum ke-13 lalu, BN masih berkuasa akibat persempadanan semula kawasan pilihanraya.

Dalam Konvensyen Tahunan Negeri DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2016 sebentar tadi, sembilan usul telah pun diluluskan sebulat suara oleh perwakilan.

Sebahagian usul itu ialah menyeru Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia membenarkan perhimpunan aman Bersih 5, membantah cadangan persempadanan semula SPR, mendesak penswastaan dan kenaikan harga parkir dihentikan, menuntut Perdana Menteri meletakkan jawatan berikutan pendedahan Jabatan Kehakiman (DOJ) melibatkan individu MO1 dan menyokong penuh kepimpinan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng. – Roketkini.com