Berita

Kabinet digesa tunai janji, mansuh segera hukuman mati

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Kerajaan sudah menyatakan hasratnya untuk memansuhkan hukuman mati di negara ini sejak November lalu, namun tidak ada sebarang tanda bahawa isu itu akan diputuskan dalam tempoh terdekat.

Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto berkata Malaysia cuma ada empat tahun lagi untuk membuktikan ia mempunyai ‘kompas moral’ bagi menamatkan jenayah, bukannya kehidupan sebelum mencapai status negara maju pada 2020.

“Sudah tiba masanya Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara menggembleng tenaga untuk menilai semula inisiatif dan program memerangi jenayah yang ada bagi mengurangkan kadar jenayah di negara ini.

“Ia penting jika Malaysia mahu dihormati oleh negara-negara demokrasi dan progresif yang lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Bekas menteri undang-undang, Datuk Nancy Shukri sebelum ini menyatakan bahawa penyelidikan tiga tahun oleh Pusat Antarabangsa bagi Pengajian Undang-undang (I-CeLLS) berhubung pemansuhan hukuman mati dan cadangan kepada kajian itu akan dikemukakan oleh Kabinet tidak lama lagi.

Namun, Kabinet terus membisu berkenaan isu itu selepas Nancy mendakwa berlaku kelewatan disebabkan oleh pendapat orang ramai yang menyokong hukuman mati di negara ini.

Menurut Kasthuri yang juga Setiausaha Publisiti Wanita DAP, hukuman mati terbukti tidak berjaya mengurangkan jenayah di Malaysia, justeru kewujudannya perlu segera dibincangkan oleh kerajaan bersama pihak-pihak berkepentingan yang lain.

“Jika kerajaan Malaysia merasakan hukuman mati berjaya menghalang jenayah, maka kita harus melihat negara-negara lain seperti Afghanistan, Bangladesh, Trinidad dan Tobago, Nigeria dan Sudan Selatan yang juga ada hukuman mati.”

Beliau menambah, negara seperti Trinidad dan Tobago, Nigeria dan Sudan Selatan turut disenaraikan sebagai antara negara paling berbahaya di dunia tahun ini menurut laporan-laporan statistik dari pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah dan organisasi lain.

“Negara-negara yang mempunyai kadar jenayah tertinggi semuanya mempunyai hukuman mati, namun ia tidak berjaya menurunkan kadar jenayah,” tegasnya.

Oleh itu, bersempena sambutan Hari Anti-Hukuman Mati Sedunia yang ke-14 hari ini, Kasthuri menggesa semua pihak terutama kerajaan segera mencari alternatif terbaik bagi mengurangkan kadar jenayah di Malaysia.

“Menghapuskan jenayah mungkin dipandang mustahil bagi mereka yang skeptikal di luar sana, tetapi ia tidak patut menghalang rakyat dan kerajaan Malaysia dari berusaha ke arah itu,” katanya. – Roketkini.com