Berita

Penduduk Kampung Telemong diugut, DAP gesa kerajaan bela nasib Orang Asli

BERA, 10 OKT: Penduduk Orang Asli di Kampung Telemong di sini melahirkan rasa tidak puas hati berikutan tindakan Kerajaan Negeri Pahang yang didakwa menggertak mereka dengan notis pemberitahuan mengenai kesalahan pencerobohan Hutan Simpan Kekal Tasek Bera.

Mereka yang telah mendiami kawasan hutan simpan berkenaan sejak 1977 tambah terkejut apabila menerima notis pemberitahuan bertarikh 29 September 2016 mengenai kesalahan tersebut, setelah menerima notis yang sama pada tahun lalu.

Simpati dengan nasib yang menimpa mereka, Naib Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji telah mengadakan pertemuan dengan penduduk berkenaan bagi membincangkan permasalahan tersebut.

Beliau yang juga merupwhatsapp-image-2016-10-09-at-7-12-39-pm-2akan Adun Mentakab mempersoalkan tindakan dan motif kerajaan negeri menggertak penduduk Orang Asli berkenaan.

“Hasil daripada pertemuan itu, saya dapati mereka tidak berpuas hati kerana kampung ini telah mereka duduki sejak perpuluh-puluh tahun lalu. Malah mereka melakukan aktiviti bercucuk tanam serta berkebun getah dan kelapa sawit demi untuk mencari rezeki dan sesuap nasi di sini.

“Justeru mengapa mereka ditakut-takutkan serta dilayan begini rupa oleh kerajaan negeri? Adakah ini strategi untuk menghalau penduduk kampung tersebut?” katanya kepada Roketkini.

Menurut Tengku Zulpuri yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, pihak bertanggungjawab seharusnya mengenal pasti masalah yang dihadapi penduduk Orang Asli berkenaan sekaligus berusaha mencari jalan penyelesaian yang lebih adil dan saksama.

“Mengapa tidak pihak yang bertanggungjawab datang untuk berbincang atau merangka satu penempatan baru serta bagaimana untuk menambah atau mendapatkan sumber ekonomi bagi mereka untuk terus hidup.

“Ia harus dilakukan supaya mereka dapat merasakan nikmat erti kemerdekaan seperti pribumi- pribumi yang lain dan tidak dijadikan bahan politik demi kerakusan manusia semata-mata,” katanya.

Beliau turut berikrar untuk membantu penduduk kampung berkenaan dengan membawa perkara tersebut kepada pihak berwajib agar ia dapat diselesaikan demi dasar kemanusiaan dan bukan kerana kepentingan politik pihak tertentu.

Dalam pada itu, Tengku Zulpuri turut memaklumkan bahawa penduduk kampung berkenaan sejak April lalu masih tidak mendapat bekalan air bersih, selain ketiadaan bekalan elektrik meskipun telah membuat permohonan sejak lapan tahun lalu.

Malah, katanya, laluan yang tidak sempurna yang menghubungkan kampung berkenaan ke kawasan lain juga telah menjejaskan aktiviti kehidupan seharian mereka, terutama buat anak-anak mereka yang ingin ke sekolah.

Perkara lebih tambah memburukkan apabila perkhidmatan bas dan van sekolah yang dinikmati selama ini oleh pelajar di kampung berkenaan telah dihentikan, memaksa ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah dengan jalan berlopak dan tidak terurus, ujarnya. – Roketkini.com