Berita

Banteras amalan ‘orang tengah’ bagi mengelak rasuah dalam projek kerajaan

KOTA KINABALU, 10 OKT: Amalan kronisme dan budaya menggunakan ‘orang tengah’ untuk projek-projek awam di Malaysia perlu dibanteras bagi mengelakkan penyelewengan dan rasuah terus terjadi di jabatan-jabatan kerajaan di negara ini.

Setiausaha Publisiti DAP Sabah, Phoong Jin Zhe berkata amalan itu hanya membawa keuntungan kepada kroni dan kontraktor yang terlibat tanpa sebarang hasil kepada rakyat seperti apa yang berlaku dalam kes rasuah melibatkan dua pegawai Jabatan Air Sabah baru-baru ini.

“Budaya ‘rent-seeking’ perlu dihentikan bagi menyelamatkan ekonomi negara kita. Ia seperti sudah jadi kebiasaan dalam projek-projek kerajaan.

“Kroni yang mendapat kebenaran tender dari pegawai kerajaan dengan mudah memperolehi keuntungan tanpa membuat apa-apa, dan selalunya mereka akan ‘sub’ projek itu kepada kontraktor lain,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut Jin Zhe, sistem kroni kapitalisme yang diamalkan amat merugikan negara memandangkan peruntukan yang diberi sepatutnya disalurkan kepada rakyat dan boleh merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin di Malaysia.

“Seluruh proses dan mekanisme pemberian tender harus dinilai semula bagi mengelakkan keuntungan tidak produktif kepada proksi dan kroni yang terlibat.

“Cuba bayangkan, RM2 bilion yang diseleweng oleh pegawai-pegawai Jabatan Air Sabah tersebut bersamaan dengan jumlah cukai GST yang dikumpul di Sabah selama setahun,” luahnya, kesal.

Media baru-baru ini melaporkan bahawa 60 sen bagi setiap RM1 yang diperuntukkan oleh kerajaan Pusat untuk projek air di Sabah telah masuk ke poket pegawai-pegawai kerajaan dan proksi mereka.

Ia menunjukkan bahawa hanya 40 peratus daripada keseluruhan dana sebanyak RM3.3 bilion itu digunakan untuk menyalurkan kemudahan air di Sabah, manakala selebihnya iaitu sebanyak RM2 bilion telah disalahguna. – Roketkini.com