Berita

DAP konsisten isu hudud sejak Pakatan Rakyat, DAPSY jawab Fadhli Shaari

SHAH ALAM, 10 OKT: Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) hari ini menyangkal dakwaan Ketua Penerangan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari bahawa kononnya DAP tidak berpinsip dan anti-Islam serta menyifatkan ia sebagai amat dangkal dan jumud.

“DAP sejak sebelum pembentukan Pakatan Rakyat sudah menyatakan tidak bersetuju dengan pelaksanaan hukum hudud di Malaysia kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Kita setuju ia antara persoalan besar wacana Islam, namun ia harus dibahaskan dalam konteks masyarakat dan sistem politik di Malaysia bagi menjamin keadilan bagi semua pihak,” ujar Setiausaha Eksekutif DAPSY, Muhammad Shakir Ameer dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, adalah tidak adil untuk menghukum semua pihak yang mempersoalkan pelaksanaan hudud sebagai sesat dan anti-Islam kerana sarjana Islam sendiri memiliki pelbagai pandangan berhubung hukum tersebut.

Fadhli baru-baru ini dilaporkan berkata DAP anti-Islam dan tidak berprinsip kerana menyokong agenda hudud yang diperjuangkan PAS satu ketika dahulu, tetapi kini berubah dan membantah rang undang-undang pindaan Akta 355 yang mahu meningkatkan kuasa mahkamah syariah.

Membalas kenyataan itu, Shakir berkata, pendirian DAP dalam isu hudud selama ini konsisten, namun ia dipersetujui oleh PAS semasa gabungan Pakatan Rakyat. Malah, DAP dan PAS bekerjasama atas dasar yang dipersetujui bersama.

“Semasa Pakatan Rakyat wujud, DAP bertungkus-lumus meraih sokongan untuk PAS dari golongan bukan-Islam. Kerjasama antara DAP dan PAS pada masa itu amat harmoni sehingga ada golongan Cina dan India memakai baju atau topi dengan logo PAS.

“Kita juga dihentam teruk oleh parti-parti BN seperti Gerakan dan MCA kerana bekerjasama dengan PAS, tetapi kita terus menyokong parti itu,” katanya.

Beliau menambah, hasil persahabatan dan kerjasama politik di antara PAS dan DAP telah membolehkan PAS memenangi lebih kerusi terutama di negeri Selangor atas sokongan pengundi bukan-Islam.

“Dalam Buku Jingga yang merupakan dasar-dasar yang dipersetujui semua parti dalam Pakatan Rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, tidak ada satu baris pun mengenai pelaksanaan hudud di Malaysia,” katanya.

Shakir mendakwa, ketidakjujuran Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang merupakan punca kepada perselisihan faham di antara kedua-dua parti itu.

“Selepas PRU 13, Hadi Awang mula menunjukkan ketidakjujuran beliau dalam Pakatan Rakyat dengan tidak menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dan juga membentangkan undang-undang hudud dengan sokongan UMNO, di DUN Kelantan dan Parlimen.

“Bagaimana DAP mampu berdepan dengan penyokong apabila PAS telah mengkhianati kepercayaan dan sokongan yang diberikan khususnya daripada penyokong bukan-Islam?” soalnya.

Sehubungan itu, Shakir berkata PAS perlu berhenti mengkafirkan pihak lain atas nama Islam kerana ia tidak membawa sebarang manfaat politik tetapi hanya mencemarkan imej agama. – Roketkini.com