Berita

Rakyat tak undi ratu cantik dalam pilihan raya, DAP jawab kenyataan seksis Gerakan

KUALA LUMPUR, 10 OKT: DAP mengecam keras kenyataan berbaur seksis seorang pemimpin Gerakan yang mahukan wanita muda, seksi dan ‘sanggup melakukan segala-galanya’ untuk menjadi calon parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok berkata, kenyataan seumpama itu seolah-olah memberi gambaran bahawa calon wanita hanya dijadikan boneka dan alat oleh parti komponen BN terbabit untuk meraih undi.

“Kenyataan beliau juga seolah-olah menunjukkan bahawa pengundi adalah orang bodoh yang boleh ditipu oleh penampilan calon wanita semata-mata.

“Malah ia memberi gambaran bahawa pengundi tidak mengambil sesuatu yang penting daripada calon wanita mahupun faktor masa depan negara atau isu-isu yang lebih besar dalam sebarang perkiraan (untuk mengundi seseorang calon),” katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Biro Perundangan dan Hak Asasi Manusia Gerakan, Datuk Baljit Singh seperti yang dilaporkan media berkata Gerakan perlu meletakkan calon wanita muda, seksi dan ‘sanggup melakukan segala-galanya’ di kerusi yang mempunyai peluang menang tipis.

Baljit bagaimanapun, memohon maaf atas kenyataannya itu pada hari yang sama.

“Kenyataan Baljit adalah satu penghinaan kepada kebijaksanaan wanita serta pengundi pada umumnya,” kata Teresa Kok yang juga Ahli Parlimen Seputeh.

Malah, menurutnya, faktor kecantikan dan seksi tidak menjadi sebab mengapa beberapa calon wanita daripada Pakatan Rakyat memenangi kerusi yang ditandingi mereka pada PRU lalu, sebaliknya kemahuan rakyat terhadap perubahan lanskap politik negara menjadi faktor utama kepada kemenangan berkenaan.

“Dalam Pilihan Raya Umum, rakyat tidak mengundi ratu cantik, tetapi mereka mengundi parti politik yang boleh membentangkan dasar dan hala tuju yang terbaik di negara ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui penglibatan wanita dalam arena politik tempatan sama ada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) khususnya masih kurang dan perlu ditambah.

Namun, katanya, parti-parti politik tidak harus meletakkan calon wanita yang bertanding berdasarkan kecantikan sebagai ciri-ciri utama, sebaliknya memandang kualiti seseorang calon yang mampu menjadi pemimpin yang dapat membawa perubahan kepada negara.

“Justeru, saya menggesa supaya Ketua sayap Wanita Gerakan memberi Baljit Singh sesi pemekaan gender, supaya beliau boleh bercakap mengenai penyertaan wanita dalam politik dari perspektif yang betul,” ujarnya.

Menyatakan pandangan yang sama, Ahli Jawatankuasa Sosialis Muda DAP (DAPSY), Dyana Sofya Mohd Daud pula berkata, ciri-ciri fizikal tidak menjadikan kaum wanita sebagai calon yang boleh menang, sebaliknya kemampuan, sikap patriotik dan sikap ringan tulang menjadi faktor utama kepada kejayaan seseorang calon.

Malah, katanya, Pakatan Harapan menggalakkan wanita muda yang mempunyai ciri-ciri bijak, berdedikasi dan berani dalam menyertai lapangan politik.

“Namun, pemimpin Gerakan dan banyak lagi pemimpin di sebelah sana lebih gemar pada objektif seksual wanita dalam politik dengan retorik murah kononnya pengundi memilih berdasarkan faktor seksual, bukan akal,” katanya. – Roketkini.com