Berita

Bekas editor The Rocket, kini Datuk Bandar di New Zealand

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Daerah Kapiti Coast, utara Wellington New Zealand kini mempunyai seorang Datuk Bandar baru, anak kelahiran Pulau Pinang.

Bukan itu sahaja, K. Gurunathan adalah bekas editor lidah rasmi DAP, The Rocket.

Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang pernah bertugas di bawah kelolaan Gurunathan, mengucapkan tahniah ke atas kejayaan beliau menewaskan lima calon lain dengan meraih 8,911 undi, menewaskan penyandang Ross Church dengan kelebihan 2,300 undi.

K Gurunathan

K Gurunathan

“Saya menyelak akhbar ketika sarapan pagi ini dan tajuk berita serta gambarnya menarik perhatian saya,” ujar Chow dalam kemaskini laman sosial Facebooknya.

“Pada tahun 1983-84, sekumpulan anak muda menyertai akhbar National Echo.

“Saya terus menyertai (akhbar tersebut) selepas tamat pengajian di USM sebagai wartawan dan kemudian menjadi sub-editor. Guru sewaktu itu adalah ketua wartawan,” tulis Chow.

Menurutnya lagi, Guru kemudiannya meninggalkan akhbar itu untuk menyertai The Rocket apabila kepimpinan pusat DAP memutuskan untuk memindahkan organ parti tersebut ke Pulau Pinang bagi bersiap-sedia menghadapi pilihanraya.

Chow berkata, ketika itu beliau hanyalah sukarelawan membantu dalam pilihanraya umum pada tahun 1986.

“Apabila Lim Kit Siang mencari seorang setiausaha politik, Guru lah yang mencadangkan saya pergi untuk temuduga,” ujarnya lagi.

Berusia 63 tahun, Gurunathan mempunyai sejarah penglibatan yang panjang dalam media Malaysia.

Selain bertugas di The Rocket, beliau turut pernah menyumbang tulisan ke The New Straits Times sebagai pengulas politik, serta bertugas sebagai pengarang di The Sun sebelum meninggalkan negara pada tahun 1995. – Roketkini.com