Berita

Adun Perak tuntut pengiktirafan jawatan Ketua Pembangkang

IPOH, 12 OKT: Adun Pakatan Harapan Perak telah menghantar memorandum berkaitan usul pembaharuan Institusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Speaker dalam mesyuarat yang diadakan di pejabatnya di sini, semalam.

Usul berkenaan antara lain menuntut agar pengiktirafan jawatan Ketua Pembangkang DUN dilaksanakan seperti mana yang dipersetujui dan dijanjikan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat sebelum ini.

Ia juga adalah sejajar dengan tuntutan konvensyen Parlimen negara komanwel yang mewajibkan supaya jawatan Ketua Pembangkang diiktiraf dan kedudukannya adalah setaraf dengan menteri dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) di peringkat negeri.

Adun Pasir Pinji, Howard Lee berkata, pengiktirafan berkenaan telah diabaikan sejak Barisan Nasional (BN) merampas pentadbiran negeri dalam krisis Perlembagaan pada 2009, meskipun telah diluluskan EXCO negeri pimpinan Pakatan Rakyat pada tahun sebelumnya.

“Hampir kesemua tuntutan kami telah pun dibentang kepada Speaker sebelum ini dengan pelbagai janji pelaksanaan. Tetapi, malangnya rakyat Perak masih menunggu janji-janji tersebut untuk dikotakan.

“Kami harap dengan peluang keemasan ini, Speaker baru akan membawa suntikan baru kepada dewan yang mulia dengan reformasi yang kami cadangkan. Ia pastinya akan membawa manfaat kepada rakyat Perak,” katanya kepada Roketkini.

Berbeza dengan Perak, pentadbiran Pakatan Harapan di Selangor dan Pulau Pinang mengambil langkah proaktif mengiktiraf jawatan Ketua Pembangkang bagi menghormati amalan konvensyen Parlimen. – Roketkini.com