Berita

Universiti jadi lapangan propaganda, tidak cukup sekadar pinda AUKU

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) perlu dimansuhkan bagi membenarkan pelajar di institusi pengajian tinggi di Malaysia mengetahui hal ehwal negara yang sebenar dari semua pihak, sekaligus mencambahkan pemikiran kritis di kalangan mereka.

Walaupun AUKU telah dipinda pada tahun 2012 bagi membenarkan pelajar menceburi politik di luar kampus, Seksyen 15 masih melarang aktiviti politik di dalam kampus dan menghalang pelajar dari menubuhkan organisasi yang dianggap ‘tidak sesuai dengan pelajar Universiti’.

“Seksyen 15 dan Seksyen 4 dalam AUKU telah merampas autonomi universiti, sekaligus membuatkan pemikiran kritikal dan perbahasan secara objektif mustahil di mana-mana kampus.

“Putrajaya mesti memulangkan kembali hak autonomi universiti agar pelajar dapat beroleh pengetahuan dan berfikir dengan kritis tanpa sebarang kawalan atau campur tangan dari ahli-ahli politik,” tegas Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin.

“Saya bertemu dengan ramai pelajar yang bertanya sama ada biasiswa mereka akan ditarik balik, atau sama ada mereka akan dibuang universiti jika terlibat dengan demonstrasi, forum, atau program dianjurkan parti pembangkang.

“Ironinya, banyak institusi pengajian tinggi menawarkan subjek ‘pemikiran kritis’ tetapi akta yang ada sekarang seolah-olah menyekat mereka dari berfikir secara objektif,” katanya dalam satu kenyataan.

Bee Yin berkata demikian sebagai mengulas forum 1MDB anjuran Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) baru-baru ini yang diadakan bagi menerangkan isu 1MDB dari mata kerajaan kepada pelajar universiti tersebut.

Namun, ramai pihak melihat forum itu sebagai satu langkah kerajaan untuk mempengaruhi pelajar agar menyokong mereka dalam isu 1MDB, lebih-lebih lagi isu itu hanya diterangkan dari sebelah pihak tanpa menjemput wakil parti pembangkang.

“Sedih apabila melihat UM yang dulunya menjadi ‘markas’ kepada aktivisme dan idealisme pelajar kini bertukar kepada tempat untuk penerangan sebelah pihak.

“Apabila ada pelajar yang mengangkat plakad mengkritik 1MDB semasa forum itu, bekas Ketua Pemuda UMNO Tun Faisal melabel mereka sebagai ‘tidak bertamadun’. Tetapi sebenarnya, apa yang lebih tidak bertamadun berbanding merompak wang rakyat tanpa malu?” soalnya. – Roketkini.com