Banjir Kelantan: Lumpur sudah lama kering, rumah belum ada – Bahagian 1
Di Gua Musang, kami dibawa menyelusuri Kampung Nerang yang pernah terjejas teruk akibat malapetaka yang menimpa.
Kami dihidangkan dengan pemandangan bangkai kereta diliputi semak hijau yang meliar, jalan tanah merah yang berlopak dan rumah-rumah yang musnah.
Ternyata dari penglihatan tersebut, ‘kesedihan’ yang berlalu dua tahun sudah masih mengisi ruang penduduk yang terselamat dan kembali menetap di kampung berkenaan setelah bah yang melanda mulai surut dan kering.
Meski terkadang terhimbau rasa pilu mengenangkan harta benda yang musnah dan ranap dibawa arus deras banjir, mereka masih mampu tersenyum, malah masih gagah dan tabah menjalani kehidupan seharian seperti biasa.
Noriah Binti Mamat, 51, seorang mangsa banjir yang sempat diziarahi pasukan kami memaklumkan bahawa beliau telah menetap di Kampung Nerang sejak 25 tahun lalu bersama-sama suami dan lapan orang anaknya, dengan empat darinya sudah bersekolah.
Namun, dinding dan atap yang sejak sekian lama menjadi tempat mereka berteduh bakal terpisah dari memori dan igauan yang pernah menghuni fikiran dan rasa mereka.
Tapak rumah yang mereka duduki kini adalah di atas tanah milik kerajaan negeri di bawah rizab sungai dan berkemungkinan besar akan dirobohkan pihak berkuasa pada bila-bila masa.
Malah, Noriah menceritakan bahawa pernah kawasan rumahnya disita oleh kerajaan negeri sewaktu keluarganya ingin memasuki semula dan membaiki rumah berkenaan selepas banjir mulai surut.
Lebih tambah memburukkan, keputusan bagi permohonan rumah kerajaan negeri dan pusat pula masih tak kunjung tiba.
“Permohonan rumah dah buat dan sudah diberi kepada Penghulu kampung, tapi sehingga kini tak ada khabar.
“Kali terakhir jumpa dengan Penghulu dua bulan yang lepas,” ujarnya.
Dari suara halusnya, kami dapat menangkap rasa hiba yang cuba ditahan, tambahan pula keluarga jiran yang lain kebanyakkan sudah menerima rumah bantuan yang disediakan.
Kami meninggalkan rumah puan Noriah dengan pelbagai persoalan yang bermain di benak (namun tak menemui jawapan) dengan rasa yang tak tergambarkan.
Tiba-tiba segalanya menjadi perlahan dan semakin perlahan, meski kereta yang kami naiki terus meluncur membelah kehijauan.
Rumah di sebatang sungai, jambatan
Siapa yang tidak tersentuh apabila melihat empat dinding dengan atap zink tanpa penghadang untuk membahagikan ruang tandas, ruang tamu, dan dapur dihuni dengan rasa syukur dan tidak meminta-minta oleh seorang mangsa banjir yang telah melalui segala kesukaran dan kesulitan.
Nasri Mohamed, 56, tinggal bersendirian di rumah sementara berkenaan hasil sumbangan sebuah Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Kampung Manek Urai Lama.
Tidak pernah berkahwin, beliau terpaksa mengharapkan bantuan daripada adik kandungnya, Hakimi untuk menyediakan keperluan asas dan sebagainya.
“Saya tak dapat bekerja dah, dulu saya kerja-kerja kampung sahaja, tolong-tolong orang, tapi sekarang sakit, akan dapatkan rawatan nanti di hospital,” katanya tanpa menyatakan penyakit yang dihadapinya.
Sebelum diberi rumah berkenaan, Nasri terpaksa tinggal di dalam khemah di kawasan yang sama sebelum dikunjungi NGO yang membina rumah sementara berkenaan.
Ketika ditanya mengenai keinginan rumah baru yang lebih sempurna, beliau hanya menjawab : “Semua orang kalau boleh nak yang baik dan sempurna, tapi apa yang saya dapat hari ini pun dah cukup.”
Kerajaan perlu lebih prihatin
Mereka yang sempat kami lawati dan santuni hanya sekelumit daripada lebih 150,000 mangsa yang terdiri daripada 36,000 keluarga yang terjejas teruk ekoran bencana alam yang berlaku itu.
Tanah Jajahan Kota Bahru sahaja, 44,061 mangsa telah dikenal pasti, manakala Tumpat (30,569), Pasir Mas (23,568), Kuala Krai (23,500), Gua Musang (17,327), Machang (8,289), Tanah Merah (3,546) dan Pasir Puteh (192).
Di setiap kampung yang kami jelajahi, terdapat dua hingga ke tiga buah keluarga yang tercicir daripada bantuan kerajaan negeri mahupun persekutuan. Sama ada terlepas pandang daripada perhatian masyarakat, mahupun permohonan masih tidak diluluskan sehingga kini.
‘Berat mata memandang, lebih berat bahu yang memikul’, dua sambutan hari raya masih diselubungi perasaan takut akan bencana banjir, entah raya yang ke berapa baru anak-anak ini merasa sempurna seperti kita? Mengharap bantuan yang tak kunjung tiba.
“Kita akan mengenalpasti mana keluarga yang masih sukar untuk mendapatkan rumah, dan kita akan bantu selagi terdaya di atas kapasiti kita (Impian Kelantan),” demikian ujar Rara.
Ternyata, Rara yang pada awal-awal penglibatan membantu mangsa-mangsa banjir untuk membina semula hidup mereka pada awal tahun lalu, terkejut dengan perkembangan yang tidak diduga ini.
Hampir setiap penghuni di rumah yang kami lawati merungut hal birokrasi yang menjerut.
Justeru, Rara mahu kerajaan pusat dan negeri berganding bahu dan menanggalkan jubah ego yang menyaluti badan ahli politik dan menyarung segala apa yang ada demi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka yang tercicir itu. – Roketkini.com