Berita

47 anggota Parlimen BN Sabah dan Sarawak boleh catur kuasa Putrajaya

KUALA LUMPUR, 31 OKT: 47 anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dari Sabah dan Sarawak diseru agar memainkan peranan mereka sebagai ‘kingmakers’ dalam pentadbiran kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, mereka harus menjalankan tiga tanggungjawab penting bagi mempertahankan asas sekular pembinaan negara Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963 serta menyelamatkan negara daripada terus digelar sebagai ‘kleptokrasi global’.

Pertama, katanya, mereka harus bertegas untuk menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Persekutuan sekiranya konsesus BN yang menetapkan bahawa negara Islam dan undang-undang hudud adalah bertentangan dengan Perlembagaan dicabuli mana-mana pihak khususnya UMNO.

“Ia bermakna komitmen jelas bahawa Kerajaan Persekutuan BN tidak akan menyokong Rang Undang-undang (RUU) Persendirian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen yang akan membuka jalan kepada pelaksanaan hudud,” jelasnya dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2017 di Parlimen pagi tadi.

Kedua, menurut Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, 47 anggota Parlimen BN itu juga harus mendesak agar Kerajaan Persekutuan mengambil segala langkah perlu bagi mengembalikan semula autonomi penuh kepada Sabah dan Sarawak.

Autonomi itu, katanya, adalah sesuai dengan semangat Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan Jawatankuasa Inter-Government dan Perjanjian Malaysia 1963.

“Ketiga, 47 Ahli Parlimen BN ini mesti memberi mesej jelas kepada Najib bahawa penghinaan terhadap Malaysia sebagai sebuah kleptokrasi global, negara yang ditadbir pencuri dan penyamun, mesti disangkal dan dijawab, atau dibersih.

“Ia supaya rakyat Malaysia tidak menanggung malu, dan boleh berasa bangga sebagai rakyat Malaysia apabila mereka merantau dan melancong ke luar negara, dan tidak dilihat sebagai rakyat yang datang dari negara yang ditadbir perompak dan pencuri,” katanya.

Menurut Kit Siang, kerajaan pimpinan Najib tidak akan dapat terbentuk dengan hanya 47 peratus undi popular yang diperolehi BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lepas, justeru amat memerlukan sokongan 47 anggota Parlimen BN berkenaan.

“Adakah 47 orang Ahli Parlimen BN dari Sabah dan Sarawak ini, yang telah diletakkan sebagai ‘kingmaker’ bersejarah di persimpangan penting sejarah Malaysia, akan dapat melaksanakan tugas kepada negara, yang pastinya akan membawa kesan besar dan panjang kepada generasi Malaysia akan datang?” soalnya di akhir ucapan berkenaan. – Roketkini.com