Berita

Ucapan Husni Hanadzlah di Dewan Rakyat dilindungi Akta Majlis Parlimen

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Tindakan bekas Menteri Kewangan II Datuk Seri Husni Hanadzlah membangkitkan penyelewengan 1MDB di Parlimen baru-baru ini bakal mengundang siasatan pihak polis..

Siasatan polis itu dibuat berdasarkan kemungkinan Ahli Parlimen Tambun itu telah melanggar sumpah kerahsiaan kabinet ketika berucap di dalam Dewan.

Bagaimanapun, berdasarkan Klausa 9(e) Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952, tindakan polis menyiasat Husni juga berkemungkinan melanggar akta tersebut.

Ini kerana, akta itu melindungi Ahli-ahli Parlimen melibatkan tindakannya di dalam Dewan rakyat termasuk ucapannya ketika perbahasan Belanjawan.

“Husni wajar menarik perhatian pihak polis yang ditugaskan menyiasatnya kepada Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

“Beliau juga boleh memberi amaran kepada pegawai polis itu bahawa ia mungkin bersalah menghina Parlimen dan boleh dihukum mengikut Klausa 9(e) Akta Majlis Parlimen itu yang melindungi Ahli-ahli Parlimen daripada halangan melibatkan tindakannya di dalam Dewan Rakyat,” kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, polis hanya boleh menjalankan siasatan mereka hanya jika Husni kehilangan keistimewaan itu di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan berkaitan Akta Hasutan kerana mempersoalkan satu daripada empat isu sensitif, yang tidak terpakai dalam keadaan ini.

Kit Siang berkata, keadaan yang serupa pernah berlaku ke atasnya berdasarkan satu ucapannya di Parlimen.

“Pihak polis pernah melancarkan siasatan ke atas saya ekoran apa yang saya ucapkan di Parlimen, yang tidak ada kaitan dengan mana-mana empat perkara sensitif yang menghilang keistimewaan Ahli Parlimen.

“Tetapi apabila saya maklumkan kepada pegawai polis yang datang berjumpa dengan saya bahawa beliau sedang menghina Parlimen dengan menghalang seorang Ahli Parlimen daripada menjalankan tanggungjawbanya dan menarik perhatian beliau kepada Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 dan memintanya supaya kembali meminta nasihat pegawai atasan dan Jabatan Peguam Negara, pegawai tersebut berundur dan tidak kembali lagi,” jelasnya. – Roketkini.com