Berita

Projek air graviti Impian Sabah: Kemarau di Mukim Bunga Raya Keningau bakal berakhir

KENINGAU, 31 OKT: Sekurang-kurangnya 2,000 penduduk daripada lima buah kampung di Mukim Bunga Raya di sini boleh menarik nafas lega apabila DAP melalui Impian Sabah melancarkan projek air graviti ‘Talayon Tanaru’ yang bermula hari ini.

Projek memakan kos RM250,000 itu telah dilancarkan pada 28 Oktober baru-baru ini oleh Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang bersama Ahli Jawatankuasa DAP Sabah diketuai Ahli Parlimen Sandakan Wong Tien Fatt.

peter-saili

Peter Saili, Pengerusi DAP Keningau

Dana yang diperolehi bagi projek tersebut merupakan hasil kutipan amal dari seluruh rakyat Malaysia atas inisiatif DAP dan Impian Sabah.

Kampung yang terlibat dalam projek air graviti ini ialah Kampung Melidang, Kampung Nahaba Baru, Kampung Bunga Raya, Kampung Kodop Baru dan Kampung Tonobon Baru.

Menariknya, projek ini juga akan dijayakan bersama oleh penduduk-penduduk kampung secara bergotong-royong bersama sukarelawan Impian Sabah.

Pengerusi DAP Keningau Peter Saili berkata selain memberi kemudahan bekalan air kepada penduduk, projek air graviti ini juga merupakan platform terbaik untuk mengeratkan hubungan persaudaraan dan kejiranan.

bungaraya2

Pelancaran projek air graviti dijalankan penuh sederhana tetapi bermakna.

“Perlaksanaan projek melalui amalan bergotong-royong di antara penduduk-penduduk Mukim Bunga Raya dan sukarelawan-sukarelawan dari luar yang datang membantu, kita bukan sahaja dapat menjimatkan kos wang ringgit tetapi yang paling utama kita dapat memupuk semangat kerjasama, kesatuan dan perpaduan di antara keseluruhan warga Mukim Bunga Raya” kata beliau. 

Kit Siang dalam ucapannya berkata walaupun Keningau merupakan pekan kelima terbesar di Sabah, masih ada kampung yang tidak menikmati kemudahan bekalan air.

“Pekan kelima terbesar di Sabah yang selama empat dekad lalu telah menjadi kawasan pemimpin PBS, yang telah pernah menjadi Ketua Menteri atau Timbalan Ketua Menteri Sabah; ada kampung yang tidak mempunyai bekalan air bersih pada tahun 2016,” katanya.

bungaraya3

Antara paip-paip PVC yang akan digunakan untuk menyalurkan air.

Menurutnya jika 60 peratus daripada RM3.3 bilion atau sekitar RM2 bilion yang diperuntukkan untuk projek infrastruktur air luar bandar tidak dicuri akibat rasuah dan kleptokrasi, ia boleh membiayai 8,000 projek seperti projek air Impian Sabah di Keningau.

“Tidak ada sebab langsung kenapa hampir setiap isirumah di pedalaman Sabah tidak dapat diberikan kemudahan air bersih, bukan sahaja pada 2016 tetapi sekitar dua puluh tahun lalu, sekiranya tidak terjadi rasuah dan kleptokrasi di negeri tersebut,” ujar beliau. – Roketkini.com