Berita

Daripada belanja RM1.2 bilion beli kapal China, lebih baik tambah peruntukan hospital

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Daripada membelanjakan RM1.2 bilion untuk empat kapal tempur pesisir dari China, adalah lebih baik kerajaan menyalurkan wang itu kepada Kementerian Kesihatan bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan untuk rakyat.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching berkata pemotongan peruntukan kepada Kementerian Kesihatan sebanyak RM280 juta telah menyebabkan beberapa hospital memberhentikan secara sementara beberapa ujian makmalnya.

Menurutnya, perkara itu diakui sendiri oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya yang menyatakan ia satu cabaran besar bagi mengekalkan kualiti perkhidmatan yang sama berbanding tahun lalu.

“Jika duit untuk pembelian kapal tempur pesisir itu boleh digunakan untuk pesakit, sudah tentu hospital kerajaan tidak akan berdepan masalah kesuntukan wang untuk membeli reagen untuk pesakit di negara ini sehingga hujung September.

“Oleh itu, saya mendesak kerajaan Datuk Seri Najib Razak agar bersimpati dengan rakyat yang sakit dan kurang sihat. Kesihatan dan kesejahteraan rakyat harus diberi keutamaan,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai pada 25 Oktober lalu telah membangkitkan persoalan berhubung penggantungan ujian lab dan kekurangan bekalan perubatan di beberapa hospital dalam negara.

Dr. Hilmi yang menjawab soalan berkenaan berkata Kementerian Kesihatan mengalami pemotongan bajet sebanyak RM280 juta walaupun jumlah pesakit bertambah sebanyak 8 peratus sejak Januari hingga Mei tahun ini berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

Tambah Nie Ching, kekurangan peruntukan dan bekalan reagen yang terhad telah menyebabkan beberapa hospital terutama di Selangor dan Johor memberhentikan ujian makmal kerana kedua-dua negeri itu mempunyai lebih banyak Hospital Berpakar yang turut berperanan sebagai hospital rujukan.

“Sebilangan hospital-hospital di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Pulau Pinang, dan Kedah turut memberhentikan beberapa ujian makmal mereka,” katanya. – Roketkini.com