Berita

Pakatan Harapan ziarah Hospital Sultanah Aminah, gesa aspek keselamatan diperketat

JOHOR BAHRU, 2 NOV: Pemimpin Pakatan Harapan Johor hari ini mengadakan lawatan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang mengalami tragedi kebakaran sehingga meragut enam nyawa pada 25 Oktober lepas.

Lawatan yang disambut Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Johor, Khairul Anwar Bachok itu kemudiannya disusuli dengan sesi taklimat berhubung insiden tersebut.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang yang turut serta dalam lawatan itu berkata, aspek keselamatan pesakit dan kakitangan hospital perlu diutamakan demi memastikan insiden seumpama itu tidak berulang dan berlaku di hospital yang lain.

Katanya, beliau menyokong penuh cadangan yang dikemukakan Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja dibentuk untuk menjalankan siasatan bebas di samping siasatan sedia ada oleh agensi yang bertanggungjawab.

img-20161102-wa0094

Lawatan yang disambut Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Johor, Khairul Anwar Bachok itu kemudiannya disusuli dengan sesi taklimat berhubung insiden tersebut

Malah, Kit Siang yang juga merupakan Ahli Parlimen Gelang Patah turut menuntut supaya peruntukan Kementerian Kesihatan yang dipotong dikembalikan semula demi memastikan isu kesihatan dan kebajikan rakyat menjadi keutamaan.

“Dalam Belanjawan 2017, kita telah menyaksikan pemotongan peruntukan untuk Kementerian Kesihatan. Saya tegaskan, pemotongan-pemotongan ini mesti dikembalikan semula,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata, hospital di bawah seliaan KPJ Healthcare yang merupakan anak syarikat berkaitan negeri dicadang memainkan peranan yang lebih besar dalam aspek keselamatan pusat kesihatan.

“Meskipun isu kebakaran HSA adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan, hospital-hospital KPJ boleh mengoptimumkan kapasitinya demi rakyat Johor dan mengenepikan soal keuntungan pada masa-masa kritikal seperti ini,” ujarnya.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Gan Peck Cheng pula berkata, kejayaan pihak pengurusan, kakitangan dan agensi terlibat dalam membawa keluar 473 pesakit dalam lingkungan masa sejam sewaktu kebakaran berlaku adalah satu pengorbanan yang tidak ternilai.

“Walaupun terdapat banyak kekangan, kami dari pihak Adun Pakatan Harapan Johor bersedia untuk menghulurkan bantuan dalam apa bentuk sekalipun untuk membantu mangsa dan kakitangan hospital dalam menghadapi situasi yang amat sukar ini.

“Kami juga akan membangkitkan isu ini dalam sidang dewan negeri yang akan bermula pada 17 November 2016 nanti untuk perhatian lanjut,” katanya.

Lawatan tersebut turut disertai Adun Parit Yaani, Aminolhuda Hassan dan Setiausaha PKR Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Melalui siasatan awal polis, kebakaran yang berlaku awal pagi Selasa minggu lepas itu dipercayai berpunca daripada litar pintas, seperti yang dilaporkan Bernama.

Mangsa korban terdiri daripada empat wanita dan dua lelaki manakala seorang lagi terselamat dalam kebakaran di tingkat dua unit rawatan rapi (ICU) HSA.

Kurang daripada 46 jam daripada insiden itu, kebakaran kedua pula terjadi di dewan bedah dekat wad kecemasan dan trauma di hospital yang sama. – Roketkini.com