Berita

Jangan guna alasan Akta Rahsia Rasmi untuk tutup kes rasuah

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Cubaan pihak polis menyiasat tiga bekas menteri UMNO berhubung ucapan mereka menyentuh isu skandal 1MDB merupakan sebuah penganiayaan politik.

Tambahan pula, tindakan mereka menyuarakan perkara itu di Parlimen dijamin oleh perkara 63(4) Perlembagaan Persekutuan.

Sebarang usaha untuk menyekat suara mereka hanya akan dilihat sebagai tindakan yang telah mencabul penghormatan dan kekebalan Parlimen.

“Akta Rahsia Rasmi tidak boleh sama sekali disalahguna untuk menutup kes-kes rasuah.

“Perlu ditegaskan semua Ahli Parlimen mempunyai kewajipan utk mencari kebenaran demi kepentingan awam,” kata Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming.

Beliau mengulas tindakan polis yang cuba menyiasat Bbkas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyddin Yassin, bekas Menteri Kewangan II Dato Seri Ahmad Husni Bin Hanadzlah  dan bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar Dato Seri Shafee Apdal.

Pengerusi DAP Perak itu berkata, semua rakyat berhak untuk mencari kebenaran berhubung skandal mega 1MDB yang telah meletakkan Malaysia sebagai negara kleptokrasi.

“Skandal ini bukan sahaja telah menjadi skandal kewangan terbesar di dunia malahan mengakibatkan nama negara tercemar.

“DAP Perak memberi sokongan penuh kepada ketiga-tiga bekas menteri ini supaya terus bersuara untuk memastikan mereka yang terlibat dalam skandal 1MDB melibatkan dana RM50 billion ini akan dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin,” ujar beliau. – Roketkini.com