Berita

Kenaikan harga petrol sebenarnya ikut formula atau budi bicara Perdana Menteri?

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Kerajaan digesa menjelaskan formula kiraan harga bahan api yang sebenar kepada umum berikutan harga minyak di negara ini tidak mengikut pola harga pasaran minyak dunia seperti yang ditegaskannya sebelum ini.

Adun Kampung Tunku, Lau Weng San dalam satu kenyataan hari ini mempersoal sama ada kerajaan tidak mempunyai formula yang tetap untuk membuat pengiraan dan hanya tertakluk kepada budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ia berikutan dakwaan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani bahawa kononnya kenaikan harga minyak pada November tahun ini dikurangkan daripada 20 sen ke 15 sen atas arahan Najib.

Menurut Weng San, walaupun kerajaan menjelaskan pengiraan harga bahan api adalah mengikut mekanisme sistem apungan terkawal, maklumat terperinci seperti formula pengiraannya masih menjadi tanda soal.

“Ataupun kerajaan sebenarnya tidak mempunyai formula yang tetap untuk membuat pengiraan? Kalau adapun, ia akan tertakluk kepada budi bicara Perdana Menteri.

“Bukankah benar kalau harga api betul-betul bergantung kepada perubahan harga pasaran sedunia, maka ia tidak akan memerlukan campur tangan mana-mana pihak lain?” soalnya.

Harga pasaran untuk petrol dan diesel yang dinaikkan sebanyak 15 sen mulai tengah malam 1 November lalu dianggap kenaikan tertinggi bagi tahun ini.

Petrol RON95 kini dijual pada harga RM1.95 seliter, RON97 menjadi RM2.30 seliter dan diesel dijual pada harga RM2 seliter. – Roketkini.com