Berita

Cari usaha selamatkan diri, Perdana Menteri akhirnya tunduk kepada kekuasaan China

KUALA LUMPUR, 3 NOV: ‘Dasar pandang ke China’ yang nampaknya menjadi pendekatan baru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat sebagai percubaan untuk membersihkan imejnya yang sejak beberapa tahun lepas terjejas teruk ekoran skandal kewangan 1MDB.

Ia selepas kegagalan beliau untuk menarik minat pelabur Barat dan rantau Eropah melabur di negara ini susulan tindakan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat yang memfailkan tuntutan saman bagi merampas aset yang diperoleh hasil daripada penyelewengan dana 1MDB.

Perdana Menteri dirujuk sebagai ‘Malaysia Official 1’ dan diulang sebut ulang sebanyak 36 kali dalam dokumen saman yang dikeluarkan pada Julai tersebut, dan disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Rahman Dahlan.

Entiti yang telah meletakkan nama negara tersenarai sebagai ‘kleptokrasi global’ itu didakwa menerima US$731 juta melalui beberapa transaksi rumit yang berpunca daripada dana syarikat pelaburan negara yang kini sarat menanggung hutang.

Bagaimanapun, Najib yang juga Menteri Kewangan tetap menafikan perkara itu.

Mengulas mengenai dasar luar baru Najib, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata, China sebagai negara ekonomi terbesar Asia dilihat bekerjasama dengan sesiapa sahaja termasuk Korea Utara yang sejak beberapa dekad lepas diperintah oleh seorang diktator.

Justeru, katanya, imej negara yang tercalar ekoran salah urus tadbir kerajaan khususnya 1MDB oleh Najib tidak begitu dipandang oleh China kerana sudah menjadi dasar negara populasi penduduk padat itu untuk meluaskan pengaruhnya ke seluruh negara dunia ketiga.

Namun, menurut Tony, dasar luar baru itu dibimbangi akan mengakibatkan negara terpaksa tunduk dengan kekuasaan geo-politik dan ekonomi China yang seterusnya dikhuatiri akan terus memacu negara menjadi sebuah lagi negara penyangak di rantau antarabangsa.

“Ia (dasar luar dengan China) juga adalah kenyataan halus tapi keras untuk memberitahu kuasa-kuasa Barat bahawa Malaysia yang kini digelar sebagai sebuah kleptokrasi tidak mempunyai masalah untuk melakukan perniagaan.

“Jika mereka (barat) tidak gembira dengan beliau (Najib), beliau dengan senang hati menarik pengaruh China, yang mana tidak peduli langsung bagaimana pemimpin kerajaan Malaysia kini telah merompak negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Petanda awal Najib tunduk dengan China

Tony turut berkata, pemberian tender secara tidak telus kepada syarikat China Communications Construction Company Limited bagi Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) telah mengakibatkan kos pembinaannya naik sebanyak dua kali ganda.

Projek yang menelan belanja RM55 bilion dan dibiayai dengan pinjaman daripada Export-Import Bank of China (EXIM) terbabit, menurut Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu, adalah percubaan Najib untuk melangsaikan hutang tertunggak 1MDB.

Hasilnya, kata Tony, negara akan terpaksa tunduk kepada kekuasaan geo-politik dan ekonomi China apabila Laut China Selatan yang menjadi perebutan pelbagai pihak termasuk Malaysia dilihat tidak lagi menjadi perkara utama kepada Najib. – Roketkini.com