Rencana

Sampai bila mahu perjudi keselamatan Sabah?

Belanjawan 2017 telah dibentangkan dengan 1001 kekecewaan kepada rakyat Sabah. Selain daripada aspek pembangunan yang tidak seimbang, aspek keselamatan perairan juga sering menjadi persoalan.

Sejak beberapa tahun lalu, Sabah sering menjadi sasaran penculik Abu Sayyaf, bagi tahun ini sahaja sudah enam kejadian berlaku. Terbaru adalah penculikan pada 17 Julai lalu di Lahad Datu yang telah memangsakan empat orang iaitu Tayudin Anjut, Mohd Ridzuan Ismail, Mohammad Jumadil Rahim, dan Fandy Bakran dari Tawau, dan kini masih di dalam tangan Abu Sayyaf.

Saya memohon kerajaan mengambil perhatian serius terhadap kesusahan yang dihadapi empat mangsa dan keluarganya mereka ini. Masa terlalu suntuk, mereka diberi peluang terakhir di mana penculik meminta wang tebusan sebanyak RM2 juta atau mereka akan dibunuh. Saya harap, kerajaan boleh mengambil tindakan yang wajar dengan segera.

Saya telah bangkitkan di Parlimen bahawa pembahagian anggota tentera antara Timur dan Barat Malaysia adalah amat tidak seimbang. Walaupun kita tahu ancaman keselamatan di pantai timur Sabah adalah serius dan ketara, namun, kebanyakan anggota tentera kita tertumpu di Semenanjung.

Seperti dilaporkan, kini Semenanjung Malaysia mempunyai tiga divisyen iaitu di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Melaka, manakala seluruh Timur Malaysia yang lebih luas hanya mempunyai satu divisyen iaitu di Kuching.

Nisbah pembahagian angkatan tentera dan polis di Semenanjung Malaysia adalah 70%, manakala hanya 30% sahaja untuk Sabah dan Sarawak, ia adalah amat tidak seimbang sedangkan pantai timur Sabah menghadapi ancaman yang terbesar. Jangan lupa bahawa Lahad Datu yang pernah diceroboh pengganas punya kemungkinan untuk diceroboh lagi.

Justeru saya cadangkan supaya kedudukan anggota tentera ini dikaji semula di mana satu divisyen perlu ditempatkan di Sabah khususnya di Lahad Datu untuk meningkatkan kemampuan pertahanan negara kita di pantai timur Sabah.

Bubarkan ESSCOM

ESSCOM telah diperuntukkan sebanyak RM146 juta, dan pada tahun ini, agensi tersebut diperuntukkan lagi dengan sebanyak RM44 juta bagi pembangunan. Berdasarkan rekod, agensi ini nampaknya kurang berkesan dan tidak dapat melindungi rakyat Sabah. Kes penculikan masih berkali-kali berlaku.

Memandangkan kejadian culik masih berlaku, saya telah mencadangkan supaya ia dibubarkan sahaja dan mencadangkan pasukan tentera mengepalai usaha mempertahankan Pantai Timur Sabah menggunakan aset yang lebih canggih.

Walaupun kerajaan telah mula mengarahkan kapal-kapal di pantai timur Sabah untuk memasang sistem AIS (Automatic Identification System) iaitu alat navigasi pada kapal, tetapi tanpa radar yang efektif, ia dilihat kurang membantu kerja-kerja pemantauan.

Walaupun AIS boleh memberi pengesahan terhadap kapal-kapal sendiri di laut, tetapi ia tidak boleh memberi pengesahan kepada kapal yang tidak dikenali seperti kapal atau bot yang digunakan penculik Abu Sayyaf. Oleh itu, kita memerlukan sistem radar yang canggih dan berkesan untuk memantau seluruh kawasan perairan pantai timur Sabah dari serangan mahupun pencerobohan pengganas.

Masalah Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI)

Masalah melibatkan kebanjiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Sabah adalah salah satu faktor yang dilihat menjadi sebab berlakunya pencerobohan Abu Sayyaf dan penculikan dengan mudah.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Sabah dan pihak polis juga bersetuju bahawa wujudnya faktor-faktor dalaman di mana orang dalam terlibat dalam kes-kes penculikan. Perkara ini menyebabkan pasukan keselamatan kita sukar untuk menjangka atau mengelakkan ancaman pengganas.

Memandangkan kebanyakan orang dalam ini memiliki dwi-kewarganegaraan, iaitu kerakyatan Malaysia dan Filipina, usaha untuk mengekang aktiviti keganasan atau penculikan sukar dikenalpasti.

Isu ini perlu diselesaikan secara holistik. Saya memohon kerajaan mengambil tindakan cekap untuk mengatasi masalah PATI di Sabah. Kerajaan telah mengumumkan laporan RCI pada tahun 2014 dan menubuhkan jawatankuasa teknikal RCI ini yang dipimpin oleh Ahli Parlimen Keningau, dan beliau berjanji bahawa laporan teknikal ini akan diumumkan dalam jangka masa satu tahun.

Namun, dua tahun berlalu dan masih tiada apa-apa keputusan dan tindakan diambil. Saya mohon kerajaan beri penjelasan mengapa kelihatannya terlalu sukar untuk menyelesaikan isu PATI ini?

Jangan lupa bahawa janji untuk menyelesaikan masalah PATI dan masalah IC Palsu melalui laporan RCI merupakan janji BN dalam PRU-13. Kini kita sudah menghampiri PRU-14 dan ia masih belum lagi diselesaikan malah belum ada sebarang cadangan dari jawatankuasa teknikal. Ia hanya mencerminkan bahawa kerajaan BN tidak ikhlas dan tidak mengambil berat terhadap keselamatan, kedaulatan dan kepentingan orang Sabah. – Roketkini.com

*Stephen Wong Tien Fatt adalah Pengerusi DAP Sabah merangkap Ahli Parlimen Sandakan