Berita

Mantan Timbalan Perdana Menteri dipanggil polis gara-gara kritik skandal 1MDB di Parlimen

KUALA LUMPUR, 8 NOV: Mantan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mendedahkan bahawa beliau telah dipanggil polis untuk memberi keterangan pada minggu hadapan berhubung dakwaan kononnya mendedahkan rahsia kerajaan.

“Saya sebentar tadi mendapat mesej terkini dijemput untuk ke Bukit Aman pada 15 haribulan yang akan datang ini, saya tak tahu dia (polis) bagi minum teh ataupun apa,” katanya berseloroh sambil menegaskan akan memberi komitmen dan hadir pada hari berkenaan.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di mesyuarat khas berkaitan hak-hak dan kebebasan anggota Parlimen yang dianjurkan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Muhyiddin yang juga mantan Timbalan Presiden UMNO bersama-sama mantan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Mantan Menteri Kewangan II, Ahmad Husni bakal disiasat mengikut Akta Hasutan dan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Ia disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Jumaat lepas. Tindakan itu diambil polis selepas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mendakwa ucapan mereka mengenai 1MDB di Parlimen berisiko disiasat mengikut kedua-dua akta berkenaan.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, Parlimen sebagai sebuah institusi tertinggi negara seharusnya dijadikan wadah untuk wakil rakyat menyuarakan pandangan mengenai permasalahan negara tanpa rasa gentar.

“Saya percaya dalam Perlembagaan pun telah jelas terbukti memberikan kita (anggota Parlimen) kekebalan yang agak jelas untuk membolehkan kita sebagai ahli Parlimen menjalankan fungsi dan tanggungjawab kita atas dasar kebenaran.

“Dan tidaklah ia dianggap sebagai suatu yang melanggar undang-undang negara, apa lagi melanggar Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Malah, katanya, tindakan beliau dan dua lagi mantan menteri Kabinet berkenaan yang membahas secara kritikal isu skandal 1MDB di Parlimen baru-baru ini tidak menyentuh sebarang perkara yang melanggar Akta Hasutan dan Akta Rahsia Rasmi.

“Bagi saya, tidak ada perkara-perkara yang kita sebutkan dalam ucapan yang telah saya sampaikan dianggap menyentuh perasaan mana-mana pihak, kecuali (memberi) kesedaran. Kerana ia bukan merupakan hasutan.

“Mengikut nasihat peguam yang ramai datang (kepada saya), memberitahu saya menghasut adalah apabila kita menyentuh perkara-perkara pokok dalam Akta Hasutan seperti soal kedudukan raja-raja, berkaitan hak istimewa Melayu, soal bahasa atau perkauman,” katanya. – Roketkini.com