Berita

Speaker dikecam korbankan hak dan kebebasan berucap di Parlimen

KUALA LUMPUR, 8 NOV: Berbeza dengan tugas Speaker Dewan Rakyat yang seharusnya mempertahankan hak bersuara anggota Parlimen, Tan Sri Pandikar Amin Mulia nampaknya lebih rela membiarkan anggota dewan mulia itu diperkotak-katikkan pihak penguasa.

“Dalam sejarah Speaker di England, ada Speaker yang rela ‘dipancung kepala’ untuk mempertahankan hak-hak ahli Parlimen untuk bersuara.

“Tetapi lain pula yang berlaku di Malaysia, Speaker seakan-akan bantu Ketua Polis Negara (KPN) ‘pancung’ kepala ahli-ahli Parlimen,” ujar Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam ucapannya di mesyuarat khas berkaitan hak-hak dan kekebalan anggota Parlimen, hari ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata demikian sebagai merujuk kenyataan Pandikar yang dilihat seolah-olah mencadangkan KPN dan Peguam Negara untuk mengenakan tindakan terhadap tiga mantan menteri yang lantang membicarakan isu 1MDB di Parlimen, bulan lepas.

Pandikar dalam sidang medianya di Parlimen 27 Oktober lepas mendakwa kenyataan tiga mantan pemimpin dan pemimpin Barisan Nasional itu mendedahkan mereka kepada risiko berdepan tindakan undang-undang mengikut Akta Hasutan dan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Mantan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mantan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Ahmad Husni didakwa membocorkan rahsia kerajaan ketika membahaskan Belanjawan 2017 di Dewan Rakyat.

KPN, Tan Sri Khalid Abu Bakar seperti yang dilaporkan media pada Jumaat lepas mengesahkan bahawa pihaknya akan menjalankan siasatan terhadap trio terbabit berhubung perkara itu mengikut Akta Hasutan selain OSA.

Turut hadir ke mesyuarat berkenaan ialah Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang; Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr. Wan Azizah; Shafie Apdal dan Muhyiddin serta kira-kira 20 anggota Parlimen pembangkang.

Mesyuarat yang diadakan di bangunan sementara Parlimen itu dianjurkan atas inisiatif Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah bagi membincangkan tentang usaha mempertahankan hak dan kebebasan anggota Parlimen.

Menyentuh perkembangan lain, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang menelan belanja berbilion ringgit akan menjadi satu lagi skandal mega negara selepas 1MDB.

Ini kerana, kata Adun Air Puteh itu, dalam tempoh dua tahun pengumuman projek terbabit, kos bagi membiayai projek yang menjadi pelaburan tunggal terbesar China itu telah naik sebanyak RM55 bilion berbanding RM30 bilion pada anggaran awal kerajaan.

“Ia akan menjadi projek landasan kereta api termahal, dengan hampir RM100 juta dana digunakan bagi setiap kilometer (landasan),” katanya.

Pihak pembangkang sebelum ini mendakwa, peningkatan kos projek berkenaan yang dianugerahkan kepada negara ekonomi terbesar Asia itu dan dana pembinaannya dipinjam dari EXIM Bank China tersebut adalah bagi menampung pembayaran semula hutang 1MDB. – Roketkini.com