Berita

Sakan Annuar Musa meroyan, kenapa tak tuduh perjanjian dengan China juga muslihat DAP

KLUANG, 7 NOV: Kenyataan memburuk-burukkan DAP oleh UMNO bukanlah perkara asing. Demi survival politik perkauman sempit tajaan UMNO dan rasuah yang berleluasa, DAP sudah terlalu sering dijadikan mangsa bagi mengalih perhatian umum.

“Ini bukan skrip baru,” ujar Penolong Setiausaha DAP Johor, Sheikh Omar Ali mengulas kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang disifatkannya sebagai ‘meroyan’.

Annuar dilaporkan media menuduh bahawa DAP telah menyusup ke dalam parti-parti pembangkang dan meletakkan calon pilihannya dengan tujuan memecah-belahkan orang Mekayu dan memerintah negara secara senyap.

“Melayu tolak UMNO, mereka kata angkara DAP. Rakyat turun himpunan BERSIH, ini kerja DAP katanya. Wujud parti baru AMANAH dan BERSATU, ini muslihat DAP.

“Jika semudah ini, saya ingin bertanya; Apakah beliau tak mahu tuduh, Najib tandatangani 14 perjanjian dengan China juga sebagai muslihat DAP?” ujar Sheikh Omar dalam satu kenyataan.

Menurutnya, alang-alang Annuar mahu membuat tuduhan tak berasas bahawa DAP sedang menusyup masuk dalam parti-parti pembangkang yang lain, Annuar boleh juga menuduh bahawa DAP juga bertanggungjawab ke atas lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke China dan menandatangani 14 perjanjian.

Najib Razak dan delegasinya ke China minggu lalu menandatangani 14 perjanjian melibatkan pelaburan bernilai lebih RM143 bilion melibatkan ekonomi, pertahanan, pertanian, pendidikan, kewangan dan sektor pembinaan.

Perjanjian itu juga merangkumi penglibatan China dalam pembangunan Bandar Malaysia dan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion.
“Tuduhlah apa sahaja yang tidak benar tentang DAP.

“Jika serendah ini lah tahap keupayaan strategi dan kebijaksanaan Ketua Penerangan UMNO, ia akan lebih memudahkan rakyat untuk menilai politik jahat yang cuba dimainkan oleh mereka,” tegas Sheikh Omar. – Roketkini.com