Berita

Kalau projek ECRL tidak makan kos RM55 bilion, apa jadi dengan dana selebihnya?

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Adakah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai tahu apa yang beliau katakan apabila mendakwa bahawa projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) tidak memakan belanja RM55 bilion?

Persoalan tersebut diutarakan Ahli Parlimen PJ Utara, Tony Pua mengulas dakwaan Presiden MCA tersebut yang dilihat cuba memutarbelit fakta kos pembinaan projek ECRL sedangkan kosnya telah diumum Perdana Menteri dalam ucapan Belanjawan 2017.

“Kita tak tahu sama ada Menteri Pengangkutan tahu apa yang beliau cakapkan atau sama ada beliau telah membaca perjanjian tersebut,” ujar Tony sambil berkata bahawa Parlimen diberitahu bahawa projek ECRL tidak terletak di bawah bidangkuasa Kementerian Pengangkutan, tetapi Jabatan Perdana Menteri.

“Adakah Datuk Seri Liow main tembak saja, terutamanya apabila Perdana Menteri sendiri mendedahkan bahawa landasan sepanjang 600km yang akan menyambungkan bandar-bandar Pelabuhan Klang, ITT Gombak, Bentong, Mentakab, Kuantan, Kemaman, Kerteh, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan berakhir di Tumpat akan menelan kos sebanyak RM55 bilion,” kata Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP.

CEO Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Datuk Jebasingam Issac John sebelum ini dilaporkan media pada April 2014 berkata bahawa projek ECRL hanya akan menelan belanja sekitar RM30 bilion.

Kata Tony, sekiranya angka tersebut tepat, Menteri Pengangkutan harus memberitahu rakyat Malaysia apa yang bakal terjadi kepada lebihan RM25 bilion daripada pinjaman Bank Exim China untuk projek ECRL tersebut.

Menurutnya, rakyat Malaysia bimbang berulangnya skandal kewangan ala-1MDB apabila syarikat milik negara itu meminjam sejumlah RM18.3 bilion untuk membeli loji janakuasa Tanjong Power dan Genting Sanyen.

“Adakah Liow atau mana-mana menteri Kabinet boleh menjamin bahawa lebihan pinjaman tidak akan diseleweng, mungkin untuk menyelamatkan hutang-hutang 1MDB yang telah diseleweng?

“Adakah kerajaan Malaysia sedang mengorek lubang yang lebih dalam untuk menutup lubang-lubang terdahulu?” soalnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan delegasinya ke China minggu lalu menandatangani 14 perjanjian melibatkan pelaburan bernilai lebih RM143 bilion melibatkan ekonomi, pertahanan, pertanian, pendidikan, kewangan dan sektor pembinaan, termasuk penglibatan China dalam pembangunan Bandar Malaysia dan projek ECRL. – Roketkini.com