Berita

Selamatkan Malaysia, mahasiswa mesti turun perhimpunan Bersih 5

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Biarpun disekat pihak tertentu, mahasiswa perlu mengenepikan rasa takut mereka dan turun menyertai himpunan Bersih 5 pada 19 November ini bagi menjalankan tanggungjawab sebagai kelompok berilmu pengetahuan dalam masyarakat.

“Dari masyarakat mereka datang, (dan) kepada masyarakat mereka perlu kembali.

“Mahasiswa mesti menggabungkan diri bersama kaum pekerja, petani, peniaga dan seluruh rakyat dalam menuntut negara yang lebih baik,” kata Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Edry Faizal Eddy Yusof kepada Roketkini.

Menurut Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY) Subang itu, perjuangan mahasiswa harus diteruskan biarpun ruang awam di peringkat universiti dihalang oleh pemerintahan kerajaan UMNO sedia ada yang tidak menjunjung semangat demokratik.

Ia boleh dilakukan menerusi pelbagai cara – tidak semestinya dengan hanya berpidato, agar mahasiswa dapat menakluk kembali ruang awam tersebut.

“Kalau pidato dihalang, guna puisi. Kalau puisi dihalang, guna muzik. Sehingga menjadi budaya bahawa universiti itu ruang, bukan kandang,” jelas Edry sambil menambah, kerajaan tidak akan berhenti campur tangan dalam pentadbiran universiti jika mahasiswa hanya berdiam diri.

“Kalau mahu lihat generasi anak muda yang matang, kita kena berhenti layan mereka seperti kanak-kanak. Beri mereka ruang selagi ia tidak mencederakan sesiapa.

“Kita mahu perkara ini bukan untuk yang sokong Bersih saja, tetapi juga untuk yang sokong ‘establishment’ (pentadbiran) sedia ada. Cumanya di universiti, yang menyokong ‘establishment’ dapat ruang seluas-luasnya,” ujarnya.

Pada Jumaat lalu, aktivis gabungan mahasiswa Kesatuan Mahasiswa Malaysia, Ashraff Nazrin Noor Azman ditahan di Balai Polis Gombak ketika memulakan ucapannya sempena siri jelajah Bersih 5 di Universiti Islam Antarabangsa dekat situ.

Perkara sama berlaku semasa promosi himpunan #TangkapMO1 Ogos lalu, apabila Ashraff serta dua aktivis mahasiswa lain, Muhammad Luqman Nur Hakim Zul Razali dan Luqman Hakim ditahan polis di kampus Uitm cawangan Seri Iskandar di Ipoh, Perak. – Roketkini.com