Berita

DAP gesa kerajaan tukar model ekonomi lama, buat anjakan paradigma

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Kerajaan melalui kementerian serta agensi yang berkaitan perlu membuat anjakan paradigma dalam menyesuaikan keadaan ekonomi negara dengan situasi globalisasi masa kini yang semakin dilihat tidak menentu.

Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong justeru itu berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) perlu menjadi peneraju utama dalam mencari model ekonomi baru yang melangkaui perindustrian berorientasikan eksport.

“Misi MITI bukanlah hanya menyentuh urusan dagangan tetapi ia juga mengenai industri. MITI juga mempunyai peranan untuk membentuk semula generasi perindustrian negara yang berasaskan kemahiran dan teknologi.

“MITI juga perlu cuba untuk menjana pendapatan bagi kelas pertengahan untuk pekerja Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Malah, menurut Ahli Parlimen Kluang itu, dengan tindakan Donald Trump – yang memenangi Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat baru-baru ini – menolak Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) menguatkan lagi keperluan buat negara untuk mengganti model ekonomi sedia ada.

“Malaysia telah bergantung kepada perindustrian berorientasikan eksport sejak tahun 1970. Model ini tidak lagi berfungsi. Kita tidak lagi boleh mengeksport produk kualiti rendah dengan tenaga kerja industri yang kebanyakannya dari pekerja asing tidak mahir,” kata Chin Tong.

Tambahnya yang juga Pengerusi DAP Johor, perdagangan global yang dijangkakan merudum di Eropah dan China akan turut mengakibatkan Amerika Syarikat berkemungkinan tidak bersedia untuk mengimport lagi dari Asia.

Oleh itu, katanya, Malaysia memerlukan strategi yang jelas untuk jangka masa pendek bagi mengatasi keadaan itu.

“Bukan dengan hanya memberi tumpuan kepada perjanjian perdagangan yang akan datang, MITI dan Kerajaan Persekutuan perlu melihat semula industri Malaysia dan membawa ia ke tahap yang seterusnya,” katanya. – Roketkini.com