Berita

Atasi jenayah gangguan seksual terhadap kanak-kanak dengan pendidikan

KUALA LUMPUR, 16 NOV: DAP menggesa kerajaan UMNO agar mempercepatkan pelaksanaan pendidikan seks secara komprehensif kepada kanak-kanak di peringkat pra-sekolah bagi mengatasi penularan jenayah gangguan seksual terhadap golongan itu.

Sambil memuji usaha kerajaan menggubal rang undang-undang mengenai jenayah terbabit, Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching bagaimanapun berkata, tindakan pencegahan juga memainkan peranan yang penting dalam mengatasi isu berkenaan.

“Seks tidak boleh menjadi perkara tabu kerana (keselamatan) kanak-kanak harus dipelihara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Gesaan itu dibuat berikutan pendedahan doktor pakar sakit puan, Dr. Maimunah Fadzil, seperti dilaporkan NST semalam, bahawa terdapat sekurang-kurangnya tiga kanak-kanak yang dirawat di Hospital Melaka mengalami gangguan seksual setiap minggu.

Angka itu, menurut Maimunah, meningkat ketika cuti sekolah dan waktu perayaan semasa kanak-kanak berkenaan meluangkan lebih masa di rumah.

Malah, beliau mendakwa ada kanak-kanak terbabit yang merelakan diri mereka terjebak dengan perlakuan itu dengan beberapa daripada mereka dipercayai ‘ketagih’ dengan gangguan seksual itu.

“Bukan itu sahaja. Purata 18,000 remaja di Malaysia hamil setiap tahun dan mendapatkan rawatan di klinik-klinik kesihatan kerajaan. 1,500 kes gadis-gadis remaja hamil setiap bulan atau 50 kes sehari di negara ini,” ujar Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai.

Justeru, katanya, berdasarkan statistik dan pendedahan tersebut adalah wajar bagi kerajaan supaya mengambil tindakan tegas dan pantas dengan menerapkan pendidikan seksual kepada kanak-kanak.

“Pendidikan seks telah dilaksanakan di negara-negara maju dan kita perlu mengikut jejak negara-negara itu untuk mengelakkan lebih tragedi seperti itu berlaku,” katanya. – Roketkini.com