Berita

Khidmat Doktor Udara dihenti, penduduk pedalaman Sabah terus dianaktirikan

PENSIANGAN, 15 NOV: Nasib masyarakat di pedalaman Sabah terus dirundung malang apabila kerajaan baru-baru ini menghentikan Perkhidmatan Doktor Udara khusus bagi khidmat kesihatan di kawasan yang terpencil dan tidak memiliki akses perhubungan darat yang baik.

Merujuk kepada kenyataan Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah, Dr Christina Rundi, pemberhentian khidmat itu dibuat atas pertimbangan kos serta pembatalan penerbangan yang sering berlaku.

Pengumuman kerajaan itu kata Penyelaras DAP Pensiangan Adrian Banie Lasimbang hanya akan menyebabkan kualiti kesihatan masyarakat di pedalaman terjejas memandangkan kebanyakan klinik desa hanya mempunyai bekalan perubatan yang terhad manakala peralatan kesihatan yang using dan ketinggalan zaman.

“Kerajaan telah gagal memberikan penjagaan kesihatan yang baik kepada masyarakat di pedalaman khususnya di Pensiangan sedangkan penjagaan kesihatan merupakan isu kemanusiaan yang paling mendesak,” katanya kepada Roketkini.

Selain itu, beliau yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP Sabah berkata pada tahun 2008 kerajaan Barisan Nasional telah berjanji untuk membina hospital di daerah kecil Nabawan di Pensiangan.

Namun, janji untuk membina hospital dengan peralatan moden yang lengkap gagal dilaksanakan.

“Kerajaan telah berjanji untuk bina hospital secepat mungkin tetapi selepas hampir 10 tahun, apa yang ada hari ini adalah hanya sebuah klinik kesihatan sub-standard yang tidak mempunyai kemudahan yang dijanjikan.

“Ini adalah satu penafian hak-hak bagi masyarakat di Pensiangan untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan yang lebih baik,” ujarnya.

Justeru, beliau mewakili DAP Sabah menggesa kerajaan supaya menunaikan janji mereka kepada rakyat di Pensiangan untuk menaiktaraf perkhidmatan kesihatan dengan kemudahan yang lebih baik.

Ini termasuk mengembalikan semula Perkhidmatan Doktor Udara dan membina Hospital di Nabawan dan Sook di daerah itu.

“Masyarakat luar bandar berhak mendapatkan yang lebih baik daripada kerajaan mereka, iaitu perkhidmatan kesihatan yang terbaik dan akses kepada pakar-pakar perubatan yang berbeza,” katanya lagi selepas melawat Kem Kesihatan anjuran Impian Sabah di daerah itu. – Roketkini.com