Berita

Rakaman ‘Polis tumbuk saya’ dedah sabotaj Jamal terhadap Bersih

KLANG, 15 NOV: Bagi Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang keterlibatannya dalam perhimpunan aman Bersih 5 pada Sabtu akan datang tidak bermotifkan peribadi, tetapi hanya untuk memperjuangkan hak rakyat demi sebuah negara demokrasi yang utuh, tanpa mengira bangsa, agama, jantina, usia mahupun politik.

Bagaimanapun, katanya, penganjuran perhimpunan aman dan demokratik itu telah diganggu dengan tindakan provokasi oleh Ketua Samseng Umno, Datuk Jamal Yunos baru-baru ini yang bertujuan untuk mewujudkan rasa takut dan benci di kalangan rakyat.

Beliau memuji usaha portal berita, Malaysiakini yang mendedahkan rakaman gerak perlahan memaparkan aksi ganas Jamal yang dihalang polis daripada menyerang aktivis PKR yang melakukan promosi Bersih 5 di Ampang dua hari lepas.

“Rakaman video itu menunjukkan Jamal menjerit berulang kali, ‘polis tumbuk saya’

“Tetapi dia kemudian mendakwa bahawa penyerang itu mempunyai kaitan dengan Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin dan kemudiannya membuat laporan polis palsu dengan menuduh seseorang yang berbaju Bersih telah melanggarnya.

“Namun, dari rakaman video itu, penyerang yang dikatakan kelihatan memakai (pakaian) biru gelap.

“Ini adalah moral, kualiti dan ciri-ciri provokasi yang cuba (ditunjukkan samseng Umno) untuk mensabotaj Bersih,” katanya ketika berucap dalam satu ceramah Bersih dekat sini, semalam.

Kit Siang yang juga merupakan Ahli Parlimen Gelang Patah turut menyeru agar rakyat di negara ini bersatu sebagai satu bangsa untuk perhimpunan Bersih kali ini bagi merubah suasana Malaysia yang lebih demokratik, sekaligus menolak label ‘kleptokrasi’ ekoran siasatan pihak berkuasa antarabangsa terhadap skandal melibatkan 1MDB.

“(Perdana Menteri) (Datuk Seri) Najib (Razak) telah bertanya bagaimana saya boleh bekerja dengan (Mantan Perdana Menteri) Tun Dr. Mahathir Mohamad walaupun mempunyai perbezaan politik sejak berdekad lamanya.

“Biar saya beritahu Najib, bahawa jika beliau bersedia untuk menyertai gerakan untuk Selamatkan Malaysia, untuk menuntut semula negara demokrasi dan menolak kleptokrasi, saya juga bersedia untuk bekerja bersama-sama dengan beliau walaupun berbeza pendirian politik,” ujarnya. – Roketkini.com