Berita

Provokasi samseng UMNO tak masuk akal, malukan Melayu-Islam kata Tengku Zul

MENTAKAB, 15 NOV: Tindakan gerombolan Baju Merah yang diketuai Jamal Yunos menimbulkan provokasi dan kekecohan sepanjang konvoi Bersih 5 di seluruh negara hanya untuk meraih publisiti murahan dan memalukan orang Melayu dan Islam.

“Sepatutnya Jamal mesti profesionallah , jika ‘Baju Merah’ tak puas hati, kamu boleh buat perhimpunan aman di tempat lain. Tak perlu ganggu Bersih 5,” kata Adun Mentakab Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji kepada Roketkini.

Beliau mengulas video viral kekecohan dalam konvoi Bersih 5 di Ampang baru-baru ini.

“Kita dapat lihat jelas siapa yang membuat provokasi dulu. Dia (Jamal) tuduh polis yang pukul, selepas itu dia ubah kenyataan tuduh pengikut YB Zuraida yang lakukan.

“Ini adalah politik murahan yang mahukan publisiti dengan membuat provokasi. Ini tak masuk akal dan hanya memalukan orang Melayu yang mengaku Islam,” kata Ketua Pembangkang DUN Pahang itu.

Menurut Tengku Zul, tindakan melampau Baju Merah hanya bertujuan untuk menakut-nakutkan rakyat untuk menggagalkan perhimpunan aman Bersih 5 yang akan berlangsung 19 November ini.

Dalam rakaman yang tersebar luar di media sosial, Jamal kelihatan meronta-ronta mahu melarikan diri dari perkarangan kompleks beli belah di Ampang, setelah dipercayai ditumbuk di muka sewaktu bergelut dengan pihak polis.

“Saya nak keluar, saya nak keluar,” pekik Jamal setelah sebelum itu dirakam berkata “Polis tumbuk saya,” berulang-ulang kali. – Roketkini.com