Berita

DAPSY gesa polis siasat tuduhan palsu Jamal terhadap Bersih

IPOH, 15 NOV: Sosialis Muda DAP (DAPSY) menggesa pihak polis menyiasat tuduhan liar yang dilemparkan Ketua Samseng UMNO, Datuk Jamal Yunos terhadap Bersih ekoran insiden kekasaran ketika bergelut dengan pihak berkuasa Sabtu lepas.

Menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai fitnah dan pembohongan, Ketua DAPSY Perak, Howard Lee berkata, politik kotor yang diamalkan Jamal dan pengikutnya itu jelas bertujuan untuk menghasut masyarakat dengan memberikan tanggapan negatif terhadap Bersih.

“Dalam rakaman video yang diulang tayang secara perlahan, beliau (Jamal) secara jelas telah dikasari oleh seorang lelaki yang berbaju seragam PDRM.

“Tuduhan beliau yang menyalahkan seorang peserta berbaju kuning adalah nyata suatu penipuan yang berniat mencabar kredibiliti pihak penganjur perhimpunan (Bersih),” katanya dalam satu kenyataan.

Howard yang juga merupakan Adun Pasir Pinji merujuk satu video ulang tayang perlahan oleh Malaysiakini yang memaparkan bagaimana Jamal yang juga Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar telah dikasari seseorang berpakaian seragam polis.

Jamal turut kedengaran berteriak “polis tumbuk saya” sebelum menukar kenyataannya itu ketika menemui pemberita di luar lokasi kejadian dengan mendakwa bahawa ‘budak’ Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin memukulnya.

Insiden berkenaan terjadi selepas penyokong Jamal menganggu promosi Bersih 5 yang dijalankan Zuraida bersama-sama penyokong Bersih di sebuah pusat membeli belah dekat Ampang.

Zuraida yang juga Ketua Wanita PKR menafikan dakwaan itu dan menuntut Jamal memohon maaf dalam tempoh 48 jam dari semalam atau berdepan tindakan undang-undang.

Mengulas lanjut, Howard berkata, publisiti murahan yang ingin diraih Jamal melalui aksi itu jelas berniat untuk melaga-lagakan rakyat Malaysia dan bertujuan untuk mewujudkan kacau bilau.

“Pembohongan seperti ini tidak boleh diterima langsung kerana beliau cuba untuk memanipulasi fakta yang kita sedar tidak boleh dinafikan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mewakili DAPSY Perak turut mengecam tindakan Jamal yang membuat laporan polis palsu terhadap individu yang tidak diketahui wujud dalam rakaman video tersebut.

“Bagaimanapun, sebagai pendokong kebebasan hak untuk berhimpun serta penegak hak membantah, kami juga merasakan bahawa sebarang tindakan dan perlakuan kasar oleh mana-mana anggota polis ke atas orang yang berhimpun ialah tidak wajar.

“Kita terpaksa akui bahawa telatah dan sikap Jamal Yunos, seorang samseng besar dari Sungai Besar, memang sengaja mengundang kekacauan dan porak peranda, namun ia tidak bermakna sebarang tindakan yang kasar kepada beliau boleh dibiarkan begitu sahaja,” tambahnya. – Roketkini.com